Kisah Para Rasul 2:1-13

Kisah Para Rasul 2:1-13 AVB

Apabila tiba Hari Pentakosta, mereka semuanya bersama-sama di suatu tempat. Tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk. Kemudian kelihatan lidah-lidah yang berbelah-belah, seperti api rupanya, dan setiap satu hinggap di atas setiap orang daripada mereka. Mereka semuanya dipenuhi Roh Kudus lalu mulai bertutur dalam pelbagai bahasa asing, seperti yang diberikan oleh Roh itu. Pada waktu itu terdapat orang Yahudi yang salih daripada segala bangsa di bawah langit tinggal di Yerusalem. Apabila mendengar bunyi itu, mereka datang beramai-ramai lalu tercengang kerana masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya. Mereka hairan dan takjub lalu berkata sesama sendiri, “Bukankah semuanya yang berkata-kata ini orang Galilea? Bagaimanakah mungkin masing-masing kita mendengar bahasa ibunda sendiri? Orang Partia, Media, dan Elam, orang yang tinggal di Mesopotamia, Yudea dan Kapadokia, Pontus dan Asia Kecil. Frigia dan Pamfilia, Mesir dan kawasan-kawasan Libya yang bersempadan dengan Kirene, pengunjung dari Roma, baik berbangsa Yahudi mahupun penganut agama Yahudi, orang Kreta dan orang Arab, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita masing-masing tentang perbuatan Allah yang menakjubkan.” Oleh itu, mereka hairan dan bingung lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah ertinya semua ini?” Ada pula yang mengejek, “Semua orang ini mabuk air anggur manis.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Kisah Para Rasul 2:1-13

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami