KISAH RASUL-RASUL 10:39-48
KISAH RASUL-RASUL 10:39-48 Alkitab Berita Baik (BM)
Kami saksi yang sudah melihat segala sesuatu yang dilakukan-Nya di negeri Yudea mahupun di Yerusalem. Kemudian mereka menyalibkan Dia dan membunuh Dia. Tetapi pada hari ketiga Allah membangkitkan Dia daripada kematian, dan memperlihatkan Dia. Dia tidak dilihat oleh semua orang; tetapi hanya oleh kami yang sudah dipilih oleh Allah untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Kami makan dan minum dengan Dia, sesudah Dia bangkit daripada kematian. Dia menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik itu kepada semua orang, dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi hakim orang yang masih hidup dan yang sudah mati. Semua nabi berkata-kata tentang Dia. Mereka berkata bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dosanya akan diampunkan dengan kekuasaan Yesus.” Sementara Petrus berkata-kata, Roh Allah turun dan menguasai semua orang yang mendengar perkhabaran itu. Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan menyertai Petrus dari Yope, hairan melihat Allah mengurniakan Roh-Nya kepada orang bukan Yahudi juga. Mereka mendengar semua orang itu bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib serta memuji-muji kebesaran Allah. Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, semua orang ini sudah menerima Roh Allah seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalangi mereka dibaptis dengan air?” Oleh itu Petrus menyuruh mereka dibaptis demi nama Yesus Kristus. Kemudian mereka meminta supaya Petrus tinggal dengan mereka untuk beberapa hari.
KISAH RASUL-RASUL 10:39-48 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka kami inilah saksinya derihal sagala pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuatnya, baik dalam bŭnua orang Yahudi, baik diJerusalem; maka tŭlah dibunoh orang akan dia dŭngan digantongkan dikayu. Maka iyalah tŭlah dihidopkan Allah pada hari yang katiga, sŭrta mŭnunjokkan dia dŭngan nyatanya; Bukannya pada sagala orang, mŭlainkan kapada orang orang saksi yang tŭlah tŭrdahulu dipileh ulih Allah, iya itu pada kami ini yang tŭlah makan minum sŭrtanya kumdian deripada iya tŭlah hidop deripada matinya. Maka Allah tŭlah mŭnyurohkan kami mŭngajar orang, dan mŭnyaksikan, bahwa Isa itulah yang tŭlah ditŭntukan Allah mŭnjadi hakim sagala orang yang hidop dan yang mati. Maka derihalnya itulah juga sagala nabi tŭlah mŭnyaksikan, bahwa barang siapa yang tŭlah pŭrchaya akan dia, maka dosanya akan dihapuskan dŭngan bŭrkat namanya. ¶ Maka sŭmŭntara Petros bŭrkata kata akan sagala pŭrkataan itu, Maka turonlah Roh Alkudos atas sagala orang yang mŭnŭngar pŭrkataan itu. Maka hieranlah sagala orang bŭrsunat yang tŭlah pŭrchaya itu, iya itu sŭbrapa orang yang tŭlah mŭngiringkan Petros, sŭbab anugrah Roh Alkudos tŭlah dituangkan ka’orang sŭsat pun. Kŭrna didŭngar ulih marika itu akan orang sŭsat itu bŭrkata kata dŭngan bahsa lain lain, sŭrta mŭmbŭsarkan Allah. Maka tŭtkala itu disahut Petros, Katanya, Dapatkah ditahankan orang ayer, supaya jangan dibaptisakan marika itu yang tŭlah bŭrulih Roh Alkudos spŭrti kami ini juga? Maka disurohnyalah baptisakan marika itu dŭngan nama Tuhan. Tŭtkala itu dipintalah ulih marika itu akan Petros supaya iya tinggal bŭrsama sama dŭngan marika itu bŭbrapa hari.
KISAH RASUL-RASUL 10:39-48 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kami ini menjadi saksi akan segala yang dilakukan-Nya di tanah orang Yahudi malah juga di Yerusalem. Dia telah dibunuh dengan disalib; tetapi Allah membangkitkan-Nya pada hari yang ketiga serta memperlihatkan Dia; bukan kepada semua orang tetapi kepada kami yang telah dipilih oleh Allah sebagai saksi, kami yang semakan seminum dengan-Nya setelah Dia bangkit daripada kalangan orang mati. Dia memerintah kami mengkhabarkan kepada semua orang dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang dijadikan Allah hakim ke atas orang hidup dan orang mati. Semua nabi bersaksi tentang-Nya bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus akan diampuni dosanya dengan nama-Nya.” Ketika Petrus sedang bercakap, Roh Kudus turun dan memenuhi semua yang mendengar perkhabaran itu. Orang yang percaya kepada Yesus daripada golongan bersunat datang bersama Petrus berasa hairan melihat Allah mencurahkan Roh Kudus kepada bangsa-bangsa asing juga. Mereka mendengar orang itu bertutur dalam aneka bahasa dan memuji Allah. Kemudian Petrus berkata, “Lihatlah, mereka telah menerima Roh Kudus seperti kita. Dapatkah sesiapa menghalang mereka dibaptiskan dengan air?” Petrus pun menyuruh mereka dibaptiskan dengan nama Yesus Kristus. Selepas itu, mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka beberapa hari.