Kisah Para Rasul 10:39-48

Kisah Para Rasul 10:39-48 AVB

Kami ini menjadi saksi akan segala yang dilakukan-Nya di tanah orang Yahudi malah juga di Yerusalem. Dia telah dibunuh dengan disalib; tetapi Allah membangkitkan-Nya pada hari yang ketiga serta memperlihatkan Dia; bukan kepada semua orang tetapi kepada kami yang telah dipilih oleh Allah sebagai saksi, kami yang semakan seminum dengan-Nya setelah Dia bangkit daripada kalangan orang mati. Dia memerintah kami mengkhabarkan kepada semua orang dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang dijadikan Allah hakim ke atas orang hidup dan orang mati. Semua nabi bersaksi tentang-Nya bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus akan diampuni dosanya dengan nama-Nya.” Ketika Petrus sedang bercakap, Roh Kudus turun dan memenuhi semua yang mendengar perkhabaran itu. Orang yang percaya kepada Yesus daripada golongan bersunat datang bersama Petrus berasa hairan melihat Allah mencurahkan Roh Kudus kepada bangsa-bangsa asing juga. Mereka mendengar orang itu bertutur dalam aneka bahasa dan memuji Allah. Kemudian Petrus berkata, “Lihatlah, mereka telah menerima Roh Kudus seperti kita. Dapatkah sesiapa menghalang mereka dibaptiskan dengan air?” Petrus pun menyuruh mereka dibaptiskan dengan nama Yesus Kristus. Selepas itu, mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka beberapa hari.