2 TAWARIKH 36:15-23 - Compare All Versions
2 TAWARIKH 36:15-23 BM (Alkitab Berita Baik)
Selama itu TUHAN, Allah nenek moyang mereka, terus-menerus mengutus nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya, kerana Dia hendak menyelamatkan mereka dan Rumah TUHAN. Tetapi mereka mempermainkan utusan-utusan Allah itu, tidak menghiraukan firman-Nya, dan mentertawakan nabi-nabi-Nya. Akhirnya, TUHAN sangat murka terhadap mereka sehingga tiada lagi jalan keluar untuk melepaskan diri umat-Nya daripada hukuman-Nya. Oleh itu TUHAN mendatangkan raja Babilonia untuk menyerang mereka. Raja Babilonia membunuh kaum belia Yehuda, bahkan orang yang berada di dalam Rumah TUHAN. Raja itu tidak mengasihani sesiapa pun, muda atau tua, lelaki atau perempuan, orang sakit ataupun orang sihat. Allah menyerahkan mereka semua kepada raja Babilonia. Perkakas-perkakas Rumah TUHAN dan barang-barang berharga yang ada di situ, harta benda raja dan para pegawainya, dirampas oleh raja Babilonia, lalu dibawa ke Babel. Raja itu merobohkan tembok kota Yerusalem dan membakar kota itu, termasuk Rumah TUHAN dan semua istana, bersama-sama barang-barang berharga di dalam istana. Raja Babilonia membawa semua orang yang masih hidup di kota itu ke Babilonia. Mereka dipaksa menjadi abdi kepada raja dan keturunannya sehingga permulaan kerajaan Persia. Dengan demikian berlakulah apa yang difirmankan TUHAN melalui Nabi Yeremia, “Negeri ini akan terbiar selama tujuh puluh tahun untuk mengganti tahun-tahun Sabat yang tidak dipedulikan.” Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, raja Persia, TUHAN menepati firman-Nya yang disampaikan oleh Nabi Yeremia. TUHAN menggerakkan hati Raja Kores supaya mengeluarkan titah bertulis untuk dibacakan di seluruh kerajaan baginda. Bunyi surat itu demikian, “Inilah titah Raja Kores, raja Persia. TUHAN, Allah penguasa di syurga, telah menjadikan beta raja seluruh bumi. Dia telah memberikan tugas kepada beta untuk membina sebuah rumah bagi-Nya di Yerusalem, di wilayah Yehuda. Oleh itu, kamu semua yang menjadi umat Allah mesti kembali ke sana. Semoga TUHAN, Allah kamu menyertai kamu.”
2 TAWARIKH 36:15-23 AVB (Alkitab Versi Borneo)
TUHAN, Allah nenek moyang mereka, terus-menerus mengirim pesan kepada mereka dengan perantaraan utusan-utusan-Nya, kerana Dia sayang kepada umat-Nya dan kepada tempat kediaman-Nya. Akan tetapi, mereka mengolok-olokkan utusan-utusan Allah itu, meremehkan firman-Nya, dan mengejek nabi-nabi-Nya sehingga murka TUHAN bangkit terhadap umat-Nya dan tidak mungkin lagi ada pemulihan. Dia membawa raja Kasdim kepada mereka, lalu raja itu membunuh orang muda mereka dengan pedang di Bait Suci mereka, dan tidak ada belas kasihan terhadap semua pemuda, gadis, orang yang tua atau renta. Allah menyerahkan mereka semua ke dalam tangannya. Segala alat kelengkapan Rumah Allah, baik besar mahupun kecil, perbendaharaan rumah TUHAN, serta perbendaharaan raja dan para pembesarnya, semuanya dibawanya ke Babel. Mereka membakar Rumah Allah dan merobohkan tembok Yerusalem. Semua purinya dibakar habis dan segala alat kelengkapannya yang berharga dimusnahkan. Kemudian raja itu membuang orang yang terselamat daripada pedang ke Babel. Mereka menghamba kepadanya dan kepada anak-anaknya sampai kerajaan Parsi berkuasa. Dengan demikian genaplah firman TUHAN yang disampaikan oleh Yeremia, sampai negeri itu menikmati tahun-tahun Sabatnya. Selama masa ketandusannya, negeri itu menjalani Sabat, sampai genap tujuh puluh tahun. Pada tahun pertama zaman pemerintahan Kores, raja Parsi, TUHAN menggerakkan hati Kores, raja Parsi itu, untuk memenuhi firman TUHAN yang disampaikan oleh Yeremia. Lantas raja itu menuliskan perisytiharan dan menyiarkannya di seluruh kerajaannya. Demikianlah bunyinya: “Beginilah titah Kores, raja Parsi, ‘TUHAN, Allah semesta langit, mengurniakan segala kerajaan di bumi kepadaku dan Dia menugaskan aku untuk membina sebuah bait bagi-Nya di Yerusalem, di Tanah Yehuda. Sesiapa pun umat-Nya antara kamu, semoga TUHAN, Allahnya menyertainya, dan biarlah dia kembali.’ ”