2 Tawarikh 36:15-23
2 Tawarikh 36:15-23 AVB
TUHAN, Allah nenek moyang mereka, terus-menerus mengirim pesan kepada mereka dengan perantaraan utusan-utusan-Nya, kerana Dia sayang kepada umat-Nya dan kepada tempat kediaman-Nya. Akan tetapi, mereka mengolok-olokkan utusan-utusan Allah itu, meremehkan firman-Nya, dan mengejek nabi-nabi-Nya sehingga murka TUHAN bangkit terhadap umat-Nya dan tidak mungkin lagi ada pemulihan. Dia membawa raja Kasdim kepada mereka, lalu raja itu membunuh orang muda mereka dengan pedang di Bait Suci mereka, dan tidak ada belas kasihan terhadap semua pemuda, gadis, orang yang tua atau renta. Allah menyerahkan mereka semua ke dalam tangannya. Segala alat kelengkapan Rumah Allah, baik besar mahupun kecil, perbendaharaan rumah TUHAN, serta perbendaharaan raja dan para pembesarnya, semuanya dibawanya ke Babel. Mereka membakar Rumah Allah dan merobohkan tembok Yerusalem. Semua purinya dibakar habis dan segala alat kelengkapannya yang berharga dimusnahkan. Kemudian raja itu membuang orang yang terselamat daripada pedang ke Babel. Mereka menghamba kepadanya dan kepada anak-anaknya sampai kerajaan Parsi berkuasa. Dengan demikian genaplah firman TUHAN yang disampaikan oleh Yeremia, sampai negeri itu menikmati tahun-tahun Sabatnya. Selama masa ketandusannya, negeri itu menjalani Sabat, sampai genap tujuh puluh tahun. Pada tahun pertama zaman pemerintahan Kores, raja Parsi, TUHAN menggerakkan hati Kores, raja Parsi itu, untuk memenuhi firman TUHAN yang disampaikan oleh Yeremia. Lantas raja itu menuliskan perisytiharan dan menyiarkannya di seluruh kerajaannya. Demikianlah bunyinya: “Beginilah titah Kores, raja Parsi, ‘TUHAN, Allah semesta langit, mengurniakan segala kerajaan di bumi kepadaku dan Dia menugaskan aku untuk membina sebuah bait bagi-Nya di Yerusalem, di Tanah Yehuda. Sesiapa pun umat-Nya antara kamu, semoga TUHAN, Allahnya menyertainya, dan biarlah dia kembali.’ ”


