1 SAMUEL 4:1-11

1 SAMUEL 4:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Setiap kali Samuel berkata-kata, semua orang Israel mendengarkan dia. Pada masa itu orang Filistin mengumpulkan tentera mereka untuk menyerang Israel. Oleh itu tentera Israel pun maju ke medan peperangan. Tentera Israel berkhemah di Eben-Haezer, dan tentera Filistin berkhemah di Afek. Tentera Filistin menyerang tentera Israel, dan setelah bertempur dengan sengit, tentera Israel kalah. Kira-kira 4,000 orang Israel dibunuh oleh tentera Filistin di medan peperangan. Apabila tentera Israel yang masih hidup pulang ke perkhemahan, para pemimpin Israel berkata, “Mengapakah TUHAN membiarkan tentera Filistin mengalahkan kita hari ini? Marilah kita membawa Tabut Perjanjian TUHAN dari Silo, supaya Dia akan menyertai kita dan menyelamatkan kita daripada musuh.” Oleh itu mereka mengutus orang ke Silo untuk mengambil Tabut Perjanjian TUHAN Yang Maha Kuasa, yang bertakhta di atas kerub. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas pun datang bersama-sama Tabut Perjanjian itu. Apabila Tabut Perjanjian itu sampai di perkhemahan, tentera Israel bersorak dengan sangat kuat kerana gembira, sehingga bumi bergoncang. Tentera Filistin juga mendengar bunyi sorak itu lalu berkata, “Mengapakah orang Ibrani itu bersorak-sorak?” Tetapi selepas mereka mengetahui bahawa Tabut Perjanjian TUHAN sudah tiba di perkhemahan orang Ibrani, mereka menjadi takut. Mereka berkata, “Ada dewa datang ke perkhemahan mereka! Celakalah kita! Belum pernah kita mengalami perkara seperti ini! Siapakah yang dapat menyelamatkan kita daripada dewa-dewa yang kuat itu? Dewa-dewa itulah yang telah membinasakan orang Mesir di padang gurun dahulu. Jangan takut, hai tentera Filistin! Berperanglah seperti lelaki! Jika tidak, kita akan menjadi hamba orang Ibrani seperti mereka dahulu menjadi hamba kita. Oleh itu berperanglah dengan gagah berani!” Tentera Filistin berperang dengan sekuat tenaga, lalu mereka mengalahkan tentera Israel. Tentera Israel lari ke khemah masing-masing kerana mereka kalah teruk; sebanyak 30,000 orang askar Israel terbunuh. Tabut Perjanjian Allah dirampas oleh musuh, dan kedua-dua orang anak Eli, Hofni dan Pinehas terbunuh.

1 SAMUEL 4:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Perkataan Samuel sampai kepada semua orang Israel. Maka majulah orang Israel untuk menghadapi orang Filistin dalam peperangan. Mereka berkhemah dekat Eben-Haezer manakala orang Filistin berkhemah di Afek. Orang Filistin mengatur barisan untuk berhadapan dengan orang Israel dan berjaya menewaskan kira-kira empat ribu orang Israel di medan perang itu ketika pertempuran begitu sengit lagi meluas. Ketika anggota pasukan yang selamat sampai di perkhemahan, berkatalah para tua-tua Israel, “Mengapakah hari ini TUHAN membuat kita kalah di hadapan orang Filistin? Mari kita membawa tabut perjanjian TUHAN dari Silo ke sini, supaya Dia hadir antara kita dan menyelamatkan kita daripada tangan musuh-musuh kita ini.” Mereka pun menyuruh beberapa orang ke Silo untuk membawa tabut perjanjian TUHAN alam semesta, yang bersemayam di atas para kerubin. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas mengiring tabut perjanjian Allah itu. Sebaik sahaja tibanya tabut perjanjian TUHAN di perkhemahan, bersoraklah seluruh orang Israel dengan nyaring, sehingga bumi bergoncang. Dan orang Filistin yang mendengar bunyi sorak itu berkata, “Apakah bunyi sorak yang nyaring di perkhemahan orang Ibrani itu?” Lalu diketahuilah mereka bahawa tabut TUHAN telah sampai di perkhemahan itu. Maka orang Filistin menjadi ketakutan. Kata mereka, “Allah mereka telah datang ke perkhemahan itu!” Kata mereka lagi, “Malangnya kita! Hal semacam ini belum pernah terjadi dahulu. Malangnya kita! Siapakah yang dapat melepaskan kita daripada tuhan-tuhan yang maha besar ini? Tuhan-tuhan inilah yang telah memusnahkan orang Mesir dengan berbagai-bagai wabak di gurun. Kuatkanlah hatimu dan bertindaklah seperti lelaki, wahai orang Filistin, supaya jangan kamu menjadi hamba orang Ibrani sebagaimana mereka menjadi hambamu. Berlakulah seperti lelaki dan berperanglah!” Lalu berperanglah orang Filistin, dan orang Israel pun tewas lalu mereka melarikan diri ke khemah masing-masing. Terjadilah pembunuhan yang amat besar, dan daripada tentera orang Israel, gugur tiga puluh ribu orang pasukan berjalan kaki. Selain itu, tabut Allah pun dirampas dan kedua-dua anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas, terbunuh.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami