1 Samuel 4:1-11

1 Samuel 4:1-11 AVB

Perkataan Samuel sampai kepada semua orang Israel. Maka majulah orang Israel untuk menghadapi orang Filistin dalam peperangan. Mereka berkhemah dekat Eben-Haezer manakala orang Filistin berkhemah di Afek. Orang Filistin mengatur barisan untuk berhadapan dengan orang Israel dan berjaya menewaskan kira-kira empat ribu orang Israel di medan perang itu ketika pertempuran begitu sengit lagi meluas. Ketika anggota pasukan yang selamat sampai di perkhemahan, berkatalah para tua-tua Israel, “Mengapakah hari ini TUHAN membuat kita kalah di hadapan orang Filistin? Mari kita membawa tabut perjanjian TUHAN dari Silo ke sini, supaya Dia hadir antara kita dan menyelamatkan kita daripada tangan musuh-musuh kita ini.” Mereka pun menyuruh beberapa orang ke Silo untuk membawa tabut perjanjian TUHAN alam semesta, yang bersemayam di atas para kerubin. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas mengiring tabut perjanjian Allah itu. Sebaik sahaja tibanya tabut perjanjian TUHAN di perkhemahan, bersoraklah seluruh orang Israel dengan nyaring, sehingga bumi bergoncang. Dan orang Filistin yang mendengar bunyi sorak itu berkata, “Apakah bunyi sorak yang nyaring di perkhemahan orang Ibrani itu?” Lalu diketahuilah mereka bahawa tabut TUHAN telah sampai di perkhemahan itu. Maka orang Filistin menjadi ketakutan. Kata mereka, “Allah mereka telah datang ke perkhemahan itu!” Kata mereka lagi, “Malangnya kita! Hal semacam ini belum pernah terjadi dahulu. Malangnya kita! Siapakah yang dapat melepaskan kita daripada tuhan-tuhan yang maha besar ini? Tuhan-tuhan inilah yang telah memusnahkan orang Mesir dengan berbagai-bagai wabak di gurun. Kuatkanlah hatimu dan bertindaklah seperti lelaki, wahai orang Filistin, supaya jangan kamu menjadi hamba orang Ibrani sebagaimana mereka menjadi hambamu. Berlakulah seperti lelaki dan berperanglah!” Lalu berperanglah orang Filistin, dan orang Israel pun tewas lalu mereka melarikan diri ke khemah masing-masing. Terjadilah pembunuhan yang amat besar, dan daripada tentera orang Israel, gugur tiga puluh ribu orang pasukan berjalan kaki. Selain itu, tabut Allah pun dirampas dan kedua-dua anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas, terbunuh.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami