1 TAWARIKH 28:9-20

1 TAWARIKH 28:9-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Lalu kepada Salomo, Raja Daud bertitah, “Hai putera beta, hendaklah Allah yang disembah ayahandamu, engkau akui sebagai Allahmu. Engkau harus mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas dan rela hati, kerana Dia tahu akan segala fikiran dan keinginan hati kita. Jika engkau mencari Dia, engkau akan mendapatkan Dia, tetapi jika engkau meninggalkan Dia, Dia akan menolak engkau selama-lamanya. Ingatlah baik-baik bahawa TUHAN telah memilih engkau untuk membina rumah yang khas bagi Dia. Oleh itu, sekarang laksanakanlah tugas itu dengan cekal hati.” Kemudian Raja Daud memberikan pelan Rumah TUHAN kepada Salomo, dan juga pelan stor-stor, bilik-bilik lain, serta Bilik Maha Suci, iaitu tempat pengampunan dosa. Raja Daud memberikan semua pelan yang telah difikirkannya kepada Salomo, iaitu pelan halaman-halaman dengan bilik-bilik di sekelilingnya, dan pelan stor-stor perkakas Rumah TUHAN, serta pelan stor-stor penyimpanan pemberian untuk TUHAN. Raja Daud juga menyerahkan rancangan pengelompokan para imam dan orang Lewi, pekerjaan yang harus dilakukan mereka, iaitu bertugas di Rumah TUHAN dan menjaga semua perkakas ibadat. Baginda memberikan petunjuk tentang banyaknya perak dan emas yang harus digunakan untuk membuat perkakas-perkakas, bagi tiap-tiap pelita dan kaki pelita, bagi meja-meja perak, dan bagi tiap-tiap meja emas, tempat roti yang dipersembahkan kepada Allah. Baginda juga memberikan petunjuk tentang banyaknya emas tulen yang harus digunakan untuk membuat garpu, mangkuk dan bejana, dan tentang banyaknya perak serta emas untuk membuat pinggan mangkuk, dan tentang banyaknya emas tulen untuk membuat mazbah tempat membakar kemenyan, dan untuk membuat pedati bagi kerub-kerub yang sayapnya terbentang di atas Tabut Perjanjian TUHAN. Kemudian Raja Daud bertitah, “Semua itu terkandung dalam rancangan yang telah ditulis menurut petunjuk yang diberikan oleh TUHAN sendiri kepada beta untuk dilaksanakan.” Kemudian Raja Daud bertitah lagi kepada putera baginda, Salomo, “Engkau harus yakin dan berani. Mulakanlah pekerjaan itu dan jangan gentar terhadap apa-apa pun. TUHAN Allah yang beta sembah akan menolong engkau. Dia tidak akan meninggalkan engkau, tetapi Dia akan menyertai engkau sampai semua pekerjaan bagi rumah-Nya itu selesai.

1 TAWARIKH 28:9-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Engkaulah, anakku Salomo, kenalilah Allah ayahmu dan beribadatlah kepada-Nya dengan hati yang tulus dan jiwa yang ikhlas, kerana TUHAN mengerti setiap hati dan mengerti setiap angan-angan serta fikiran. Jika engkau mencari hadirat-Nya, maka Dia akan berkenan ditemukan olehmu. Tetapi jika engkau meninggalkan-Nya, maka Dia akan membuang engkau untuk selama-lamanya. Berwaspadalah sekarang, kerana engkau telah dipilih TUHAN untuk membina sebuah bait sebagai tempat suci. Kuatkanlah hatimu dan laksanakanlah perkara itu.” Kemudian Daud memberikan kepada Salomo, anaknya, rajah serambi Bait Suci, rumah-rumahnya, perbendaharaannya, bilik-bilik atasnya, bilik-bilik dalamnya, dan tempat bagi korban pendamaian. Diberikannya juga rajah berkenaan semua yang ada dalam fikirannya mengenai laman dalaman rumah TUHAN dan semua bilik yang mengelilinginya, mengenai perbendaharaan Bait Allah dan perbendaharaan persembahan suci, mengenai rombongan-rombongan para imam dan bani Lewi, mengenai segala pekerjaan dan segala alat kelengkapan untuk ibadat di Bait TUHAN, mengenai berat emas untuk segala alat kelengkapan emas dan berat perak untuk segala alat kelengkapan perak pada tiap-tiap ibadat: berapa berat emas yang diperlukan untuk setiap kaki pelita emas dan pelita emasnya, dan berat perak yang diperlukan untuk tiap-tiap kaki pelita perak dan pelitanya, selaras dengan penggunaan kaki-kaki pelita di dalam ibadat; berapa berat emas yang diperlukan untuk masing-masing meja roti persembahan, dan perak untuk meja-meja perak; berat emas tulen untuk garpu-garpu, bokor-bokor, piala-piala, dan tiap-tiap cawan emas, juga berat perak yang diperlukan untuk tiap-tiap cawan; berat emas yang dimurnikan untuk mazbah pembakaran dupa menurut yang diperlukan; dan emas untuk rajah rata tempat malaikat kerubin yang mengembangkan sayap menudungi tabut perjanjian TUHAN. Kata Daud, “Semua itu terdapat dalam tulisan yang diilhamkan TUHAN kepadaku, iaitu semua pekerjaan yang harus dilakukan menurut rajah itu.” Daud berkata pula kepada Salomo, anaknya, “Kuatkan serta mantapkanlah hatimu, dan bekerjalah! Jangan takut dan jangan kecut hati, kerana TUHAN Allah, iaitu Allahku, menyertai engkau. Dia tidak akan menterlantarkan atau meninggalkan engkau hingga seluruh pekerjaan untuk ibadat di Bait TUHAN itu selesai.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami