1 Tawarikh 28:9-20

1 Tawarikh 28:9-20 AVB

Engkaulah, anakku Salomo, kenalilah Allah ayahmu dan beribadatlah kepada-Nya dengan hati yang tulus dan jiwa yang ikhlas, kerana TUHAN mengerti setiap hati dan mengerti setiap angan-angan serta fikiran. Jika engkau mencari hadirat-Nya, maka Dia akan berkenan ditemukan olehmu. Tetapi jika engkau meninggalkan-Nya, maka Dia akan membuang engkau untuk selama-lamanya. Berwaspadalah sekarang, kerana engkau telah dipilih TUHAN untuk membina sebuah bait sebagai tempat suci. Kuatkanlah hatimu dan laksanakanlah perkara itu.” Kemudian Daud memberikan kepada Salomo, anaknya, rajah serambi Bait Suci, rumah-rumahnya, perbendaharaannya, bilik-bilik atasnya, bilik-bilik dalamnya, dan tempat bagi korban pendamaian. Diberikannya juga rajah berkenaan semua yang ada dalam fikirannya mengenai laman dalaman rumah TUHAN dan semua bilik yang mengelilinginya, mengenai perbendaharaan Bait Allah dan perbendaharaan persembahan suci, mengenai rombongan-rombongan para imam dan bani Lewi, mengenai segala pekerjaan dan segala alat kelengkapan untuk ibadat di Bait TUHAN, mengenai berat emas untuk segala alat kelengkapan emas dan berat perak untuk segala alat kelengkapan perak pada tiap-tiap ibadat: berapa berat emas yang diperlukan untuk setiap kaki pelita emas dan pelita emasnya, dan berat perak yang diperlukan untuk tiap-tiap kaki pelita perak dan pelitanya, selaras dengan penggunaan kaki-kaki pelita di dalam ibadat; berapa berat emas yang diperlukan untuk masing-masing meja roti persembahan, dan perak untuk meja-meja perak; berat emas tulen untuk garpu-garpu, bokor-bokor, piala-piala, dan tiap-tiap cawan emas, juga berat perak yang diperlukan untuk tiap-tiap cawan; berat emas yang dimurnikan untuk mazbah pembakaran dupa menurut yang diperlukan; dan emas untuk rajah rata tempat malaikat kerubin yang mengembangkan sayap menudungi tabut perjanjian TUHAN. Kata Daud, “Semua itu terdapat dalam tulisan yang diilhamkan TUHAN kepadaku, iaitu semua pekerjaan yang harus dilakukan menurut rajah itu.” Daud berkata pula kepada Salomo, anaknya, “Kuatkan serta mantapkanlah hatimu, dan bekerjalah! Jangan takut dan jangan kecut hati, kerana TUHAN Allah, iaitu Allahku, menyertai engkau. Dia tidak akan menterlantarkan atau meninggalkan engkau hingga seluruh pekerjaan untuk ibadat di Bait TUHAN itu selesai.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami