1 TAWARIKH 21:7-15
1 TAWARIKH 21:7-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Allah murka kerana apa yang telah berlaku, maka Dia menghukum orang Israel. Kemudian Raja Daud berdoa kepada Allah, “Ya Allah, aku sudah melakukan dosa besar! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, “Pergilah beritahu Raja Daud bahawa Aku memberi dia tiga pilihan. Apa sahaja yang dipilihnya akan Kulakukan.” Gad menghadap Raja Daud dan menyampaikan firman TUHAN itu, katanya, “Yang mana satu pilihan tuanku? Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau selama tiga hari seluruh negeri ini diserang oleh TUHAN dengan pedang-Nya yang berupa wabak dan malaikat-Nya membawa maut ke serata tempat. Jawapan apakah yang harus hamba sampaikan kepada TUHAN?” Raja Daud bertitah kepada Gad, “Keadaan beta sungguh terdesak! Janganlah manusia menghukum beta. Lebih baik TUHAN sendiri yang menghukum beta, kerana rahmat-Nya besar.” Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel sehingga 70,000 orang antara mereka mati. Kemudian TUHAN mengutus satu malaikat untuk memusnahkan Yerusalem. Tetapi ketika malaikat itu berada dekat tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna orang Yebusi, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum Yerusalem. Dia berfirman kepada malaikat itu, “Cukuplah! Berhenti!”
1 TAWARIKH 21:7-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Akan tetapi, hal itu jahat di mata TUHAN sehingga Dia mengazab Israel. Kata Daud kepada Allah, “Aku sangat berdosa kerana melakukan hal ini. Sekarang, semoga jauhkanlah kesalahan hamba-Mu ini, kerana tindakan aku ini sangat bodoh.” Lalu TUHAN berfirman kepada Gad, pelihat Daud, “Pergi dan katakanlah kepada Daud, ‘Beginilah firman TUHAN: Aku mengajukan kepadamu tiga perkara. Pilihlah salah satu antaranya untuk Kulaksanakan.’ ” Maka Gad datang menghadap Daud dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN: Buatlah pilihan, tiga tahun bencana kebuluran, atau tiga bulan dihancurkan di hadapan lawanmu sementara pedang musuh mengejar kamu, atau tiga hari pedang TUHAN, iaitu wabak penyakit, menimpa negeri ini dan malaikat TUHAN mendatangkan kemusnahan terhadap seluruh daerah Israel. Sekarang pertimbangkanlah, jawapan apa yang harus kusampaikan kepada Dia yang mengutus aku?” Jawab Daud kepada Gad, “Hal ini sangat menyesakkan bagiku. Biarlah aku jatuh ke dalam tangan TUHAN, kerana rahmat-Nya sangat besar; tetapi janganlah aku jatuh ke dalam tangan manusia.” Jadi, TUHAN mendatangkan wabak penyakit kepada Israel, lalu matilah tujuh puluh ribu orang Israel. Kemudian Allah mengutus malaikat untuk memusnahkan Yerusalem. Akan tetapi, ketika malaikat itu hendak memusnahkan kota itu, TUHAN melihatnya dan berbelas kasihan kerana malapetaka yang hendak didatangkan-Nya. Maka firman-Nya kepada malaikat pemusnah itu, “Cukup! Sekarang turunkanlah tanganmu.” Pada waktu itu malaikat TUHAN sedang berdiri berdekatan dengan tempat pembantingan Ornan, orang Yebus.