1 Tawarikh 21:7-15
1 Tawarikh 21:7-15 AVB
Akan tetapi, hal itu jahat di mata TUHAN sehingga Dia mengazab Israel. Kata Daud kepada Allah, “Aku sangat berdosa kerana melakukan hal ini. Sekarang, semoga jauhkanlah kesalahan hamba-Mu ini, kerana tindakan aku ini sangat bodoh.” Lalu TUHAN berfirman kepada Gad, pelihat Daud, “Pergi dan katakanlah kepada Daud, ‘Beginilah firman TUHAN: Aku mengajukan kepadamu tiga perkara. Pilihlah salah satu antaranya untuk Kulaksanakan.’ ” Maka Gad datang menghadap Daud dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN: Buatlah pilihan, tiga tahun bencana kebuluran, atau tiga bulan dihancurkan di hadapan lawanmu sementara pedang musuh mengejar kamu, atau tiga hari pedang TUHAN, iaitu wabak penyakit, menimpa negeri ini dan malaikat TUHAN mendatangkan kemusnahan terhadap seluruh daerah Israel. Sekarang pertimbangkanlah, jawapan apa yang harus kusampaikan kepada Dia yang mengutus aku?” Jawab Daud kepada Gad, “Hal ini sangat menyesakkan bagiku. Biarlah aku jatuh ke dalam tangan TUHAN, kerana rahmat-Nya sangat besar; tetapi janganlah aku jatuh ke dalam tangan manusia.” Jadi, TUHAN mendatangkan wabak penyakit kepada Israel, lalu matilah tujuh puluh ribu orang Israel. Kemudian Allah mengutus malaikat untuk memusnahkan Yerusalem. Akan tetapi, ketika malaikat itu hendak memusnahkan kota itu, TUHAN melihatnya dan berbelas kasihan kerana malapetaka yang hendak didatangkan-Nya. Maka firman-Nya kepada malaikat pemusnah itu, “Cukup! Sekarang turunkanlah tanganmu.” Pada waktu itu malaikat TUHAN sedang berdiri berdekatan dengan tempat pembantingan Ornan, orang Yebus.

