AYUB 1:13-22

AYUB 1:13-22 BM

Pada suatu hari, anak-anak Ayub mengadakan jamuan di rumah abang mereka yang sulung. Tiba-tiba seorang utusan datang berlari-lari ke rumah Ayub. Katanya, “Kami sedang membajak ladang dengan lembu, dan keldai-keldai sedang merumput di padang yang berdekatan. Tiba-tiba orang Syeba datang menyerang kami dan merampas semua binatang dan membunuh semua hamba tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Domba-domba serta para gembala telah disambar petir sehingga terbunuh semuanya. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Tiga pasukan orang Kasdim telah menyerang kami. Mereka merampas unta-unta, dan membunuh semua hamba tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Anak-anak tuan sedang mengadakan jamuan di rumah anak lelaki sulung tuan. Tiba-tiba angin ribut yang kuat bertiup dari gurun, lalu merobohkan rumah itu dan membunuh semua anak tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Kemudian Ayub berdiri dan mengoyakkan pakaiannya kerana kesedihan. Dia mencukur rambutnya dan bersujud. Dia berkata, “Aku dilahirkan tanpa apa-apa, dan aku akan mati tanpa apa-apa juga. TUHAN yang memberikan dan sekarang TUHAN pula yang mengambil semula. Terpujilah nama-Nya!” Sungguhpun segala peristiwa itu telah berlaku, Ayub tidak berdosa dan tidak menyalahkan Allah.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan AYUB 1:13-22

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami