AYUB 1:13-22

AYUB 1:13-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari, anak-anak Ayub mengadakan jamuan di rumah abang mereka yang sulung. Tiba-tiba seorang utusan datang berlari-lari ke rumah Ayub. Katanya, “Kami sedang membajak ladang dengan lembu, dan keldai-keldai sedang merumput di padang yang berdekatan. Tiba-tiba orang Syeba datang menyerang kami dan merampas semua binatang dan membunuh semua hamba tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Domba-domba serta para gembala telah disambar petir sehingga terbunuh semuanya. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Tiga pasukan orang Kasdim telah menyerang kami. Mereka merampas unta-unta, dan membunuh semua hamba tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Sebelum dia habis bercakap, datang pula hamba yang lain dan berkata, “Anak-anak tuan sedang mengadakan jamuan di rumah anak lelaki sulung tuan. Tiba-tiba angin ribut yang kuat bertiup dari gurun, lalu merobohkan rumah itu dan membunuh semua anak tuan. Hanya hamba seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.” Kemudian Ayub berdiri dan mengoyakkan pakaiannya kerana kesedihan. Dia mencukur rambutnya dan bersujud. Dia berkata, “Aku dilahirkan tanpa apa-apa, dan aku akan mati tanpa apa-apa juga. TUHAN yang memberikan dan sekarang TUHAN pula yang mengambil semula. Terpujilah nama-Nya!” Sungguhpun segala peristiwa itu telah berlaku, Ayub tidak berdosa dan tidak menyalahkan Allah.

AYUB 1:13-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu hari, ketika para anak Ayub baik lelaki mahupun perempuan sedang makan dan minum air anggur di rumah abang sulung mereka, datanglah seorang pesuruh kepada Ayub dan berkata, “Ketika lembu-lembu sedang membajak dan keldai-keldai betina merumput berhampiran, orang Syeba datang menyerbu dan merampas semuanya. Mereka membunuh para penjaga dengan mata pedang. Hanya hamba seorang sahaja yang terselamat sehingga dapat menyampaikan hal ini kepada tuan.” Ketika orang itu berbicara, datanglah seorang yang lain lagi dan berkata, “Api Allah menyambar dari langit, membakar kawanan domba dan para penjaganya serta menghanguskan mereka. Hanya hamba sendirilah yang terselamat sehingga dapat menyampaikan hal ini kepada tuan.” Ketika orang itu bercakap, datanglah seorang yang lain lagi dan berkata, “Orang Kasdim membentuk tiga buah pasukan dan menyerbu kawanan unta. Mereka merampas semuanya dan membunuh para penjaganya dengan mata pedang. Hamba seorang sahaja yang terselamat sehingga dapat menyampaikan hal ini kepada tuan.” Ketika orang itu bercakap, datanglah seorang yang lain lagi dan berkata, “Anak-anak tuan, baik lelaki mahupun perempuan, sedang makan-makan dan minum air anggur di rumah abang sulung mereka. Tiba-tiba datanglah angin yang besar lagi kencang dari seberang gurun tandus menghentam keempat-empat penjuru rumah itu, lalu rumah itu pun roboh menimpa para anak muda itu sehingga mati mereka semua. Hanya hamba sendirilah yang terselamat sehingga dapat menyampaikan hal ini kepada tuan.” Maka berdirilah Ayub. Dia segera mengoyakkan jubahnya, dan mencukur rambut kepalanya lalu bersujud di tanah dan menyembah, katanya, “Dengan telanjang aku keluar daripada kandungan ibuku, dan dengan telanjang juga aku akan pergi. TUHAN yang memberikan; TUHAN yang mengambil, segala puji bagi nama TUHAN!” Dalam semua hal ini Ayub tidak berdosa atau menuduh Allah berbuat salah.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami