ROMA 14:13-23

ROMA 14:13-23 BM

Oleh itu janganlah kita salahkan satu sama lain. Sebaliknya kamu harus mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa yang menyebabkan saudara kamu tergoda dan berdosa. Kerana aku bersatu dengan Tuhan Yesus, aku yakin bahawa tidak ada sesuatu pun yang pada dasarnya najis, tetapi jika seseorang menganggap sesuatu hal najis, maka najislah hal itu bagi dia. Jika apa yang kamu makan, menyakiti hati seorang saudara seiman, tindakan kamu itu tidak berdasarkan kasih. Janganlah hancurkan seseorang dengan apa yang kamu makan, kerana Kristus sudah mati baginya. Janganlah sebabkan apa yang kamu anggap baik, dianggap jahat oleh orang lain. Hal itu demikian kerana Pemerintahan Allah bukanlah soal makanan atau minuman, tetapi kerelaan melakukan kehendak Allah, ketenangan hati, dan kegembiraan, yang semuanya dikurniakan oleh Roh Allah. Orang yang mengabdikan diri kepada Kristus dengan cara demikian, menyenangkan hati Allah dan dihargai orang lain. Itulah sebabnya kita harus sentiasa bertujuan untuk melakukan hal-hal yang membawa kerukunan, dan yang saling menguatkan iman. Janganlah rosakkan apa yang sudah dilakukan oleh Allah, hanya kerana soal makanan. Semua makanan boleh dimakan, tetapi jika apa yang kamu makan menyebabkan orang lain berdosa, maka perbuatan itu salah. Lebih baik tidak makan daging, atau minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan seorang saudara seiman berdosa. Apa yang kamu percayai tentang perkara-perkara itu, biarlah hal itu diketahui oleh Allah dan kamu sahaja. Berbahagialah orang yang tidak berasa bersalah, apabila dia melakukan apa yang dianggapnya benar. Tetapi jika seseorang meragui apa yang dimakannya, Allah menyalahkan dia, kerana perbuatan orang itu tidak berdasarkan keyakinan bahawa apa yang dilakukannya itu benar. Perbuatan seperti itu dosa.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami