ROMA 14:13-23

ROMA 14:13-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu janganlah kita salahkan satu sama lain. Sebaliknya kamu harus mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa yang menyebabkan saudara kamu tergoda dan berdosa. Kerana aku bersatu dengan Tuhan Yesus, aku yakin bahawa tidak ada sesuatu pun yang pada dasarnya najis, tetapi jika seseorang menganggap sesuatu hal najis, maka najislah hal itu bagi dia. Jika apa yang kamu makan, menyakiti hati seorang saudara seiman, tindakan kamu itu tidak berdasarkan kasih. Janganlah hancurkan seseorang dengan apa yang kamu makan, kerana Kristus sudah mati baginya. Janganlah sebabkan apa yang kamu anggap baik, dianggap jahat oleh orang lain. Hal itu demikian kerana Pemerintahan Allah bukanlah soal makanan atau minuman, tetapi kerelaan melakukan kehendak Allah, ketenangan hati, dan kegembiraan, yang semuanya dikurniakan oleh Roh Allah. Orang yang mengabdikan diri kepada Kristus dengan cara demikian, menyenangkan hati Allah dan dihargai orang lain. Itulah sebabnya kita harus sentiasa bertujuan untuk melakukan hal-hal yang membawa kerukunan, dan yang saling menguatkan iman. Janganlah rosakkan apa yang sudah dilakukan oleh Allah, hanya kerana soal makanan. Semua makanan boleh dimakan, tetapi jika apa yang kamu makan menyebabkan orang lain berdosa, maka perbuatan itu salah. Lebih baik tidak makan daging, atau minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan seorang saudara seiman berdosa. Apa yang kamu percayai tentang perkara-perkara itu, biarlah hal itu diketahui oleh Allah dan kamu sahaja. Berbahagialah orang yang tidak berasa bersalah, apabila dia melakukan apa yang dianggapnya benar. Tetapi jika seseorang meragui apa yang dimakannya, Allah menyalahkan dia, kerana perbuatan orang itu tidak berdasarkan keyakinan bahawa apa yang dilakukannya itu benar. Perbuatan seperti itu dosa.

ROMA 14:13-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka sŭbab itu janganlah kiranya kita mŭngirakan sa’orang akan sa’orang, mŭlainkan tŭrutama kirakanlah pŭrkara ini, iya itu supaya jangan sa’orang pun mŭmbubohkan batu tŭrantok, atau barang sa’suatu yang munjatohkan saudaranya dijalannya. Adapun aku kŭtahui, dan sudah tŭntulah bagieku dŭngan bŭrkat Tuhan Isa, bahwa barang suatu pŭrkara pun tiada nŭjis dalam dirinya; tŭtapi kapada orang yang mŭngirakan barang apa ada nŭjis, maka kapadanyalah mŭnjadi nŭjis. Tŭtapi jikalau yang angkau makan itu mŭndatangkan kŭchil hati kapada saudaramu, maka tiadalah angkau mŭnjalani jalan kasihan. Maka janganlah angkau binasakan dŭngan makananmu akan orang yang Almasih tŭlah mati gantinya. Maka sŭbab itu janganlah kŭbajikanmu itu dikatakan jahat. Kŭrna bukannya krajaan Allah itu deripada makanan dan minuman, mŭlainkan deri pada kabŭnaran, dan pŭrdamiean, dan kasukaan dŭngan bŭrkat Roh Alkudos. Kŭrna orang yang dŭmkianlah bŭrbuat bakti kapada Almasih, maka iyalah ditrima Allah, dan dipŭrkŭnankan pula ulih manusia. Maka sŭbab itu handaklah kita mŭnurot akan sagala pŭrkara yang mŭndatangkan damie, dan sagala pŭrkara yang dapat mŭngajari sa’orang akan sa’orang. Kŭrna makanan itu tiada mŭrosakkan iya akan pŭrbuatan Allah; bahwa sŭsungguhnya sagala pŭrkara itu suchi adanya, tŭtapi kapada orang yang akan mŭndatangkan shak mŭnjadi dosalah. Maka baiklah juga jangan angkau makan daging, atau minum anggor, atau barang apa yang mŭndatangkan tŭrantok, atau shak, atau mŭlŭmahkan saudaramu. Maka adakah kapadamu iman? handaklah angkau tarohkan itu bagie dirimu dihalrat Allah. Maka slamatlah kiranya bagie orang yang tiada mŭnyalahkan dirinya sŭndiri atas pŭrkara itu yang dipŭrkŭnankannya. Maka adapun orang yang mŭnaroh waswas itu salahlah apabila dimakannya, sŭbab dimakannya itu dŭngan tiada bŭriman; kŭrna barang sa’suatu yang tiada dŭngan bŭriman, iya itulah dosa adanya.

ROMA 14:13-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, janganlah lagi kita menghakimi sesama sendiri. Sebaliknya bertekadlah tidak akan membuat saudaramu tersandung atau terjatuh. Dalam Tuhan Yesus, aku tahu dan percaya bahawa tiada sesuatu pun yang najis. Namun demikian, sesuatu menjadi najis bagi seseorang yang menganggapnya najis. Sekiranya saudaramu bersedih kerana sesuatu yang kamu makan, maka kamu tidaklah lagi hidup berasaskan kasih. Jangan mudaratkan sesiapa disebabkan makananmu, kerana Kristus telah berkorban nyawa untuk dia juga. Jangan sampai sesuatu yang kamu anggap baik disebut sebagai kejahatan. Kerajaan Allah bukanlah soal makan minum, tetapi soal perbenaran dan kesejahteraan serta kegembiraan dalam Roh Kudus. Orang yang mengabdikan diri kepada Kristus dengan cara ini akan diredai Allah dan disukai manusia. Oleh itu, marilah kita mengejar hal-hal yang membawa kesejahteraan dan yang membina kebaikan sesama sendiri. Jangan rosakkan rancangan Allah semata-mata kerana makanan! Semua makanan adalah suci, tetapi seseorang dianggap bersalah sekiranya sesuatu yang dimakannya menyebabkan orang lain tersandung. Sebaik-baiknya jauhilah makan daging atau minum air anggur atau apa sahaja yang dapat melemahkan saudaramu. Apa yang kamu percayai, percayailah sendirian di hadapan Allah. Diberkatilah orang yang tidak perlu mengadili dirinya tentang sesuatu yang dipercayainya benar. Sebaliknya, seseorang yang makan sesuatu dengan perasaan waswas adalah bersalah kerana perbuatannya itu tidak berasaskan iman. Segala yang tidak berasaskan iman itu adalah dosa.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami