ROMA 10:5-15

ROMA 10:5-15 BM

Inilah yang ditulis oleh Musa tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, “Orang yang mentaati Taurat akan hidup.” Tetapi tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui kepercayaan kepada-Nya, Alkitab mengatakan demikian, “Janganlah bertanya dalam hati, ‘Siapakah yang akan naik ke syurga?’ (maknanya membawa Kristus turun), atau ‘Siapakah yang akan turun ke alam maut?’ (maknanya membawa Kristus naik daripada kematian).” Beginilah maksudnya, “Perkhabaran daripada Allah sangat dekat pada kamu, pada bibir kamu, dan di dalam hati kamu.” Itulah perkhabaran yang kami isytiharkan; perkhabaran bahawa orang harus percaya kepada Allah. Jika kamu mengaku di hadapan orang bahawa “Yesus itu Tuhan,” dan kamu sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan. Kerana kita sungguh-sungguh percaya, kita diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Kerana kita mengakui Yesus di hadapan orang, kita diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang percaya kepada Dia tidak akan dikecewakan.” Hal itu berlaku bagi semua orang, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Allah yang satu itu Tuhan semua orang. Dia melimpahkan berkat-Nya kepada semua orang yang meminta pertolongan-Nya. Di dalam Alkitab juga tertulis, “Setiap orang yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.” Tetapi bagaimanakah mereka dapat berseru kepada Tuhan jika mereka belum percaya kepada-Nya? Bagaimanakah mereka dapat percaya kepada-Nya jika mereka belum mendengar perkhabaran tentang Dia? Bagaimanakah mereka dapat mendengar perkhabaran itu, jika tidak ada yang mengisytiharkannya? Bagaimanakah perkhabaran itu dapat diisytiharkan jika tidak ada orang yang diutus untuk mengisytiharkannya? Di dalam Alkitab tertulis begini, “Alangkah baiknya ketibaan orang yang membawa Berita Baik daripada Allah!”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan ROMA 10:5-15

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami