ROMA 10:5-15

ROMA 10:5-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Inilah yang ditulis oleh Musa tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, “Orang yang mentaati Taurat akan hidup.” Tetapi tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui kepercayaan kepada-Nya, Alkitab mengatakan demikian, “Janganlah bertanya dalam hati, ‘Siapakah yang akan naik ke syurga?’ (maknanya membawa Kristus turun), atau ‘Siapakah yang akan turun ke alam maut?’ (maknanya membawa Kristus naik daripada kematian).” Beginilah maksudnya, “Perkhabaran daripada Allah sangat dekat pada kamu, pada bibir kamu, dan di dalam hati kamu.” Itulah perkhabaran yang kami isytiharkan; perkhabaran bahawa orang harus percaya kepada Allah. Jika kamu mengaku di hadapan orang bahawa “Yesus itu Tuhan,” dan kamu sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan. Kerana kita sungguh-sungguh percaya, kita diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Kerana kita mengakui Yesus di hadapan orang, kita diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis, “Orang yang percaya kepada Dia tidak akan dikecewakan.” Hal itu berlaku bagi semua orang, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Allah yang satu itu Tuhan semua orang. Dia melimpahkan berkat-Nya kepada semua orang yang meminta pertolongan-Nya. Di dalam Alkitab juga tertulis, “Setiap orang yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.” Tetapi bagaimanakah mereka dapat berseru kepada Tuhan jika mereka belum percaya kepada-Nya? Bagaimanakah mereka dapat percaya kepada-Nya jika mereka belum mendengar perkhabaran tentang Dia? Bagaimanakah mereka dapat mendengar perkhabaran itu, jika tidak ada yang mengisytiharkannya? Bagaimanakah perkhabaran itu dapat diisytiharkan jika tidak ada orang yang diutus untuk mengisytiharkannya? Di dalam Alkitab tertulis begini, “Alangkah baiknya ketibaan orang yang membawa Berita Baik daripada Allah!”

ROMA 10:5-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna Musa pun mŭngatakan pri kabŭnaran yang datang deripada tauret juga, Adapun orang yang mŭmbuat sagala pŭrkara itulah akan hidop ulih sŭbabnya. Tŭtapi kabŭnaran yang datang deripada iman itu mŭngatakan dŭmkian: Bahwa janganlah angkau bŭrfikir dalam hatimu, siapakah akan naik kashorga? (iya itu akan mŭnuronkan Almasih kŭbawah.) Atau siapakah akan turon kŭdalam alam bŭrzak? (iya itu akan mŭmbangkitkan Almasih pula deripada matinya.) Tŭtapi apakah kata itu? Adapun pŭrkataan itu dŭkat padamu, iya itu dalam mulotmu dan dalam hatimu pun, iya itu pŭrkataan iman yang kita mŭngajarkan. Bahwa jikalau angkau mŭngaku dŭngan mulotmu akan Tuhan Isa itu, dan pŭrchaya pula angkau dalam hatimu, bahwa Allah tŭlah mŭmbangkitkan dia deripada matinya, maka angkau kŭlak akan slamat. Kŭrna dŭngan hatilah manusia itu pŭrchaya akan bŭrulih kabŭnaran, dan dŭngan mulotlah iya mŭngaku akan bŭrulih slamat. Kŭrna kitab mŭngatakan, Maka barang siapa yang pŭrchaya akan dia, iya itu tiada akan malu. Kŭrna tiadalah pŭrbethaan diantara orang Yahudi dŭngan orang Grika, kŭrna suatu juga Tuhan yang diatas skalian, maka iyalah kaya bagie sagala orang yang bŭrsru kapadanya. Kŭrna barang siapa yang bŭrsru akan nama Tuhan, maka iya itu kŭlak akan slamat. Maka bagimanakah garangannya orang orang bulih bŭrsru kapadanya, sŭbŭlom marika itu pŭrchaya akan dia? Dan bagimana garangannya orang bulih pŭrchaya akan dia, sŭbŭlom didŭngar ulih marika itu akan halnya? dan bagimanakah marika itu handak mŭnŭngar, dŭngan tiada sa’orang yang mŭmbri tahu? Dan bagimanakah orang bulih mŭmbri tahu, jikalau tiada iya disurohkan? Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bagimanakah eloknya kaki orang orang yang mŭmashorkan Injil pŭrdamiean, dan yang mŭmbawa khabar sŭnang derihal pŭrkara pŭrkara yang baik.

ROMA 10:5-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Musa telah menulis tentang perbenaran berasaskan hukum Taurat, “Sesiapa yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.” Tetapi perbenaran berasaskan iman berkata demikian, “Jangan bertanya dalam hatimu, ‘Siapa yang akan naik ke syurga?’ (untuk membawa Kristus turun) atau, ‘Siapa yang akan turun ke alam kubur?’ (untuk membawa Kristus naik daripada kematian).” Apakah yang dikatakan? “Firman itu begitu dekat denganmu, di mulutmu dan dalam hatimu (iaitu firman tentang iman yang kami isytiharkan): Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Yesus ialah Tuhan dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan; kerana dengan hatimu kamu beriman dan diperbenar, dan dengan mulutmu kamu mengaku lalu diselamatkan.” Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.” Kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani, kerana Tuhan yang sama berkuasa atas semuanya dan melimpahkan berkat ke atas semua yang menyeru kepada-Nya. Kerana “Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.” Jadi, bagaimana mereka dapat menyeru kepada-Nya sedangkan mereka tidak beriman kepada-Nya? Dan bagaimana mereka dapat beriman kepada-Nya sedangkan mereka tidak pernah mendengar tentang-Nya? Dan bagaimana mereka dapat mendengar sedangkan tiada sesiapa pun yang mengkhabarkan tentang-Nya? Dan bagaimana orang dapat mengajar kecuali dihantar? Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Alangkah indahnya kaki mereka yang membawa berita baik!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami