MAZMUR 55:12-20
MAZMUR 55:12-20 BM
Di merata tempat berlaku pemusnahan; jalan-jalan penuh dengan penindasan dan penipuan. Andaikata musuh mempermainkan aku, aku dapat menanggungnya; andaikata seorang lawan menghina aku, aku pun dapat bersembunyi daripadanya. Tetapi engkau ini, temanku, rakanku serta sahabat karibku. Kita pernah berbual dengan mesra, dan beribadat bersama-sama di Rumah TUHAN. Biarlah dengan mendadak musuhku mati, dan turun hidup-hidup ke dunia orang mati, kerana kejahatan memenuhi rumah mereka, dan menguasai hati mereka. Tetapi aku berseru kepada TUHAN Allah untuk menolong aku, dan Dia akan menyelamatkan aku. Keluhanku dan tangisanku naik ke hadirat-Nya pada petang, pagi, dan tengah hari, dan Dia akan mendengar suaraku. Dia akan membawa aku pulang dengan selamat setelah aku berperang melawan musuh yang banyak sangat. Allah yang memerintah selama-lamanya, akan mendengar aku dan mengalahkan musuhku, kerana mereka tidak mahu berubah hati, dan tidak takut kepada Allah.

