MAZMUR 146
BM
146
Pujian bagi Allah Penyelamat Kita
1Pujilah TUHAN!
Pujilah TUHAN, hai jiwaku!
2Aku akan memuji Dia seumur hidupku;
aku akan menyanyi untuk Allahku sepanjang hayatku.
3Jangan berharap kepada pemerintah manusia,
tidak seorang pun dapat menyelamatkan kamu.
4Apabila mereka mati, mereka kembali ke tanah;
pada hari itu segala rancangan mereka musnah.
5Berbahagialah orang yang ditolong oleh Allah Yakub,
dan yang berharap kepada TUHAN, Allahnya;
6 # Kis 4.24, 14.15 Dialah Allah yang mencipta langit, bumi, dan laut,
serta isi semuanya.
Dia sentiasa menepati janji-Nya;
7Dia membela hak orang yang tertindas,
dan Dia memberikan makanan kepada orang yang lapar.
TUHAN membebaskan orang tawanan,
8dan mencelikkan mata orang buta.
Dia menguatkan orang yang putus harapan;
Dia mengasihi umat yang taat kepada-Nya.
9Dia melindungi orang asing yang tinggal di negeri kita;
Dia menolong para balu dan anak yatim,
tetapi Dia memusnahkan rancangan orang jahat.
10TUHAN ialah raja selama-lamanya.
Allahmu, hai Sion, akan memerintah sepanjang masa.
Pujilah TUHAN!

Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia

Copyright © 1996, The Bible Society of Malaysia

Ketahui Lebih Lanjut tentang Alkitab Berita Baik