NEHEMIA 6:1-9

NEHEMIA 6:1-9 BM

Sanbalat, Tobia, Gesyem, dan musuh-musuh kami yang lain mendengar bahawa kami sudah selesai memperbaiki tembok itu, dan bahawa semua lubangnya sudah ditutup, walaupun pada ketika itu kami belum memasangkan daun-daun pintu pada pintu-pintu gerbang. Oleh itu Sanbalat dan Gesyem mengirim pesan kepadaku, meminta supaya aku menemui mereka di salah satu kampung di Lembah Ono, tetapi aku tahu bahawa mereka mahu mencelakakan aku. Oleh itu aku mengirim jawapan ini kepada mereka, “Saya sedang menjalankan pekerjaan penting; oleh itu saya tidak dapat datang. Saya tidak mahu pekerjaan ini tergendala hanya untuk menemui tuan.” Mereka mengirim pesan yang sama sebanyak empat kali, dan tiap-tiap kali pula aku memberikan jawapan yang sama. Kemudian Sanbalat menyuruh salah seorang anak buahnya menyampaikan pesan pada kali kelima, tetapi kali ini dalam bentuk surat terbuka. Demikianlah kandungan surat itu: “Menurut kata Gesyem, ada khabar angin di antara negeri-negeri jiran bahawa tuan dan orang Yahudi ingin memberontak, dan itulah sebabnya kamu membina semula tembok kota. Dia juga mengatakan bahawa tuan ingin menjadi raja, dan tuan sudah menyuruh beberapa orang nabi di Yerusalem untuk mengisytiharkan bahawa tuanlah raja negeri Yehuda. Raja pasti akan mendengar hal itu. Oleh itu saya mencadangkan supaya kita berdua berjumpa untuk merundingkan perkara itu.” Aku mengirimkan jawapan kepadanya, “Semua yang tuan katakan itu tidak benar. Tuan sendiri yang mereka-reka cerita itu.” Mereka mencuba menakut-nakutkan kami supaya kami berhenti bekerja. Kemudian aku berdoa, “Ya Allah, kuatkanlah aku sekarang!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami