NEHEMIA 6:1-9

NEHEMIA 6:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

Sanbalat, Tobia, Gesyem, dan musuh-musuh kami yang lain mendengar bahawa kami sudah selesai memperbaiki tembok itu, dan bahawa semua lubangnya sudah ditutup, walaupun pada ketika itu kami belum memasangkan daun-daun pintu pada pintu-pintu gerbang. Oleh itu Sanbalat dan Gesyem mengirim pesan kepadaku, meminta supaya aku menemui mereka di salah satu kampung di Lembah Ono, tetapi aku tahu bahawa mereka mahu mencelakakan aku. Oleh itu aku mengirim jawapan ini kepada mereka, “Saya sedang menjalankan pekerjaan penting; oleh itu saya tidak dapat datang. Saya tidak mahu pekerjaan ini tergendala hanya untuk menemui tuan.” Mereka mengirim pesan yang sama sebanyak empat kali, dan tiap-tiap kali pula aku memberikan jawapan yang sama. Kemudian Sanbalat menyuruh salah seorang anak buahnya menyampaikan pesan pada kali kelima, tetapi kali ini dalam bentuk surat terbuka. Demikianlah kandungan surat itu: “Menurut kata Gesyem, ada khabar angin di antara negeri-negeri jiran bahawa tuan dan orang Yahudi ingin memberontak, dan itulah sebabnya kamu membina semula tembok kota. Dia juga mengatakan bahawa tuan ingin menjadi raja, dan tuan sudah menyuruh beberapa orang nabi di Yerusalem untuk mengisytiharkan bahawa tuanlah raja negeri Yehuda. Raja pasti akan mendengar hal itu. Oleh itu saya mencadangkan supaya kita berdua berjumpa untuk merundingkan perkara itu.” Aku mengirimkan jawapan kepadanya, “Semua yang tuan katakan itu tidak benar. Tuan sendiri yang mereka-reka cerita itu.” Mereka mencuba menakut-nakutkan kami supaya kami berhenti bekerja. Kemudian aku berdoa, “Ya Allah, kuatkanlah aku sekarang!”

NEHEMIA 6:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila Sanbalat, Tobia, dan Gesyem, orang Arab itu, serta musuh-musuh kami selebihnya mendengar bahawa aku telah membina semula tembok sehingga tidak ada lagi lubang — biarpun pada ketika itu pintu-pintu gerbangnya belum lagi kupasang, maka Sanbalat dan Gesyem mengutus orang kepadaku dengan pesan, “Mari kita mengadakan pertemuan di salah sebuah kampung di Lembah Ono.” Tetapi mereka berniat mencederakan aku. Jadi, kukirim beberapa utusan kepada mereka dengan pesan, “Aku terlalu sibuk melaksanakan suatu pekerjaan yang besar untuk pergi ke sana. Mengapa perlu pekerjaan ini terhenti kerana aku meninggalkannya hanya untuk menemui kamu?” Empat kali berturut-turut mereka mengirim kepadaku pesan seperti itu, tetapi setiap kali kuberikan jawapan yang sama kepada mereka. Kemudian, buat kali kelimanya, Sanbalat mengutus seorang pembantunya kepadaku dengan pesan seperti itu dan orang itu membawa sepucuk surat terbuka, yang di dalamnya tertulis demikian: “Tersiar khabar di antara bangsa-bangsa — Gesyem juga mengatakan hal yang sama — bahawa engkau dan orang Yahudi bermaksud memberontak. Itulah sebabnya engkau membina semula tembok itu. Menurut khabar itu, engkau hendak menjadi raja mereka, bahkan kamu mengangkat para nabi untuk memaklumkan diri engkau di Yerusalem, demikian, ‘Ada seorang raja di Tanah Yehuda!’ Tentunya sekarang berita seperti itu akan terdengar oleh raja. Oleh sebab itu mari kita bermuafakat bersama-sama.” Maka kuutus jawapan ini kepadanya, “Hal-hal seperti yang kaukatakan itu tidak benar. Itu cuma rekaan kamu sendiri dalam hatimu.” Memang mereka semua sengaja berusaha menakut-nakutkan kami dengan berfikir, “Mereka akan patah semangat dalam pekerjaan itu sehingga tidak dapat menyelesaikannya.” Tetapi sekarang, kuatkanlah semangatku, ya Allah.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami