NAHUM 1

1
1Inilah perkhabaran daripada Allah tentang kota Niniwe. Perkhabaran ini dinyatakan dalam penglihatan kepada Nahum, seorang nabi yang berasal dari Elkos.
Kemurkaan TUHAN terhadap Niniwe
2TUHAN Allah tidak mahu mempunyai saingan;
orang yang melawan-Nya pasti mendapat hukuman.
Dengan sangat murka,
Dia membalas dendam terhadap musuh-Nya.
3TUHAN tidak cepat murka,
tetapi Dia berkuasa,
dan Dia tidak pernah membebaskan
orang yang melakukan kesalahan daripada hukuman.
Di tempat TUHAN berjalan,
muncul puting beliung dan taufan;
awan ialah debu daripada kakinya.
4Atas perintah-Nya, laut menjadi kering;
sungai pun dikeringkan.
Padang-padang di Basan kersang,
Gunung Karmel pun gersang,
maka layulah bunga-bunga di Lebanon.
5Gunung-gunung bergoncang di hadirat TUHAN;
bukit-bukit lebur di hadapan-Nya.
Bumi bergempa ketika TUHAN tiba;
gemparlah dunia dan semua penduduknya.
6Siapakah yang dapat tahan apabila TUHAN murka?
Tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada kemurkaan-Nya.
Dia melampiaskan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala,
sehingga batu hancur dan menjadi debu di hadapan-Nya.
7TUHAN itu baik;
Dia melindungi umat-Nya pada masa mereka susah,
Dia menjaga orang yang berlindung kepada-Nya.
8Dia membinasakan semua musuh-Nya,
Dia seperti banjir besar yang melanda mereka.
Dia mencabut nyawa orang yang melawan kehendak-Nya.
9Kejahatan apakah yang kamu rancang terhadap TUHAN?
Dia akan membinasakan kamu semua.
Dia tidak perlu membalas dendam-Nya
sampai dua kali terhadap musuh-Nya.
10Kamu pemabuk akan dibakar seperti jerami kering,
seperti semak duri yang berbelit-belit.
11Daripadamu, hai Niniwe, sudah muncul seorang yang penuh dengan rancangan jahat. Dia membuat rancangan untuk melawan TUHAN. 12Inilah firman TUHAN kepada umat-Nya, “Walaupun orang Asyur kuat dan banyak, mereka akan dibinasakan lalu lenyap. Hai umat-Ku, meskipun Aku sudah menyebabkan kamu menderita, Aku tidak akan melakukannya lagi. 13Sekarang Aku akan mengakhiri kekuasaan Asyur atas kamu, dan Aku memutuskan rantai yang membelenggu kamu.”
14Inilah keputusan TUHAN tentang Asyur, “Mereka tidak akan mempunyai keturunan untuk meneruskan bangsa mereka. Aku akan menghancurkan patung-patung berhala yang di dalam kuil-kuil dewa mereka. Aku sedang menyediakan kubur untuk orang Asyur; mereka tidak layak hidup!”
15 Lihatlah, seorang utusan datang melalui gunung-gunung untuk menyampaikan berita baik. Dia datang untuk mengisytiharkan kemenangan! Hai penduduk Yehuda, rayakanlah perayaan-perayaan kamu dan tunaikanlah nazar yang kamu janjikan kepada Allah. Orang jahat tidak sekali-kali akan menyerang negeri kamu lagi. Mereka sudah dibinasakan sama sekali.

Terpilih Sekarang Ini:

NAHUM 1: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk