NAHUM 1:2-8

NAHUM 1:2-8 BM

TUHAN Allah tidak mahu mempunyai saingan; orang yang melawan-Nya pasti mendapat hukuman. Dengan sangat murka, Dia membalas dendam terhadap musuh-Nya. TUHAN tidak cepat murka, tetapi Dia berkuasa, dan Dia tidak pernah membebaskan orang yang melakukan kesalahan daripada hukuman. Di tempat TUHAN berjalan, muncul puting beliung dan taufan; awan ialah debu daripada kakinya. Atas perintah-Nya, laut menjadi kering; sungai pun dikeringkan. Padang-padang di Basan kersang, Gunung Karmel pun gersang, maka layulah bunga-bunga di Lebanon. Gunung-gunung bergoncang di hadirat TUHAN; bukit-bukit lebur di hadapan-Nya. Bumi bergempa ketika TUHAN tiba; gemparlah dunia dan semua penduduknya. Siapakah yang dapat tahan apabila TUHAN murka? Tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada kemurkaan-Nya. Dia melampiaskan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala, sehingga batu hancur dan menjadi debu di hadapan-Nya. TUHAN itu baik; Dia melindungi umat-Nya pada masa mereka susah, Dia menjaga orang yang berlindung kepada-Nya. Dia membinasakan semua musuh-Nya, Dia seperti banjir besar yang melanda mereka. Dia mencabut nyawa orang yang melawan kehendak-Nya.