MIKHA 6:1-8

MIKHA 6:1-8 BM

Dengarlah perkara yang diajukan oleh TUHAN terhadap Israel. Bangkitlah, ya TUHAN, dan ajukanlah perkara-Mu. Biarlah gunung dan bukit mendengar apa yang hendak Engkau firmankan. Hai gunung-ganang, dasar bumi yang kekal, dengarlah perkara yang diajukan TUHAN! TUHAN mempunyai perkara dengan umat-Nya. Dia akan membawa tuduhan terhadap Israel. TUHAN berfirman, “Hai umat-Ku, apakah yang telah Aku lakukan terhadap kamu? Dalam hal apakah Aku telah menjadi beban bagi kamu? Jawablah. Aku membawa kamu keluar dari Mesir. Aku menyelamatkan kamu daripada perhambaan. Aku mengutus Musa, Harun, dan Miriam untuk memimpin kamu. Hai umat-Ku, ingatlah akan apa yang dirancang oleh Balak, raja Moab itu terhadap kamu, dan jawapan Bileam anak Beor kepadanya. Ingatlah akan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam perjalanan dari perkhemahan di Sitim sampai ke Gilgal. Ingatlah akan perkara-perkara itu, maka kamu akan menyedari apa yang telah Aku lakukan untuk menyelamatkan kamu.” Apakah yang harus aku persembahkan kepada TUHAN, Allah di syurga, apabila aku datang menyembah Dia? Haruskah aku membawa anak lembu yang terbaik dan membakarnya sebagai korban untuk-Nya? Adakah TUHAN berkenan jika aku mempersembahkan beribu-ribu ekor domba, atau minyak zaitun yang berlimpah-limpah kepada-Nya? Haruskah aku mempersembahkan anak sulungku kepada-Nya kerana dosaku? Sekali-kali tidak! TUHAN telah memberitahu kita apa yang baik. Perkara yang dituntut oleh TUHAN daripada kita adalah supaya kita berlaku adil, selalu mengamalkan kasih, dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan Allah kita.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami