MIKHA 6
6
Tuduhan TUHAN terhadap Israel
1Dengarlah perkara yang diajukan oleh TUHAN terhadap Israel.
Bangkitlah, ya TUHAN, dan ajukanlah perkara-Mu. Biarlah gunung dan bukit mendengar apa yang hendak Engkau firmankan.
2Hai gunung-ganang, dasar bumi yang kekal, dengarlah perkara yang diajukan TUHAN! TUHAN mempunyai perkara dengan umat-Nya. Dia akan membawa tuduhan terhadap Israel.
3TUHAN berfirman, “Hai umat-Ku, apakah yang telah Aku lakukan terhadap kamu? Dalam hal apakah Aku telah menjadi beban bagi kamu? Jawablah. 4 Aku membawa kamu keluar dari Mesir. Aku menyelamatkan kamu daripada perhambaan. Aku mengutus Musa, Harun, dan Miriam untuk memimpin kamu. 5 Hai umat-Ku, ingatlah akan apa yang dirancang oleh Balak, raja Moab itu terhadap kamu, dan jawapan Bileam anak Beor kepadanya. Ingatlah akan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam perjalanan dari perkhemahan di Sitim sampai ke Gilgal. Ingatlah akan perkara-perkara itu, maka kamu akan menyedari apa yang telah Aku lakukan untuk menyelamatkan kamu.”
Persembahan yang Berkenan kepada TUHAN
6Apakah yang harus aku persembahkan kepada TUHAN, Allah di syurga, apabila aku datang menyembah Dia? Haruskah aku membawa anak lembu yang terbaik dan membakarnya sebagai korban untuk-Nya? 7Adakah TUHAN berkenan jika aku mempersembahkan beribu-ribu ekor domba, atau minyak zaitun yang berlimpah-limpah kepada-Nya? Haruskah aku mempersembahkan anak sulungku kepada-Nya kerana dosaku? 8Sekali-kali tidak! TUHAN telah memberitahu kita apa yang baik. Perkara yang dituntut oleh TUHAN daripada kita adalah supaya kita berlaku adil, selalu mengamalkan kasih, dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan Allah kita.
9Bijaklah orang yang takut akan TUHAN. TUHAN berseru kepada penduduk kota, “Dengarlah, hai kamu yang berkumpul di kota. 10Di rumah orang jahat terdapat harta yang diperoleh dengan tipu daya. Mereka menggunakan takaran palsu, suatu perbuatan yang Aku benci. 11Bagaimana mungkin Aku dapat mengampuni orang yang menggunakan takaran dan timbangan palsu? 12Orang kaya di kalangan kamu menindas orang miskin; kamu semua pendusta. 13Oleh itu Aku sudah mula memukul dan membinasakan kamu kerana dosa kamu. 14Kamu akan makan, tetapi tidak kenyang; sebaliknya kamu akan tetap lapar. Kamu akan merampas barang, tetapi kamu tidak akan dapat menyimpannya. Segala sesuatu yang kamu simpan akan Aku musnahkan dalam peperangan. 15Kamu akan menanam gandum, tetapi kamu tidak akan menuainya. Kamu akan membuat minyak daripada buah zaitun, tetapi kamu tidak dapat menggunakan minyaknya. Kamu akan membuat wain, tetapi kamu tidak dapat meminumnya. 16 Perkara ini akan berlaku kerana kamu telah mengikut perbuatan jahat Raja Omri, dan puteranya, Raja Ahab. Kamu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh mereka. Oleh itu Aku akan membinasakan kamu, dan semua orang akan menghina kamu. Orang di merata tempat akan membenci kamu.”
Terpilih Sekarang Ini:
MIKHA 6: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.