MATIUS 4:12-25

MATIUS 4:12-25 BM

Ketika Yesus mendengar bahawa Yohanes dipenjarakan, Dia pun pergi ke Galilea. Dia tidak menetap di Nasaret, tetapi tinggal di Kapernaum, sebuah kota di tepi Tasik Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali. Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Tanah Zebulon dan tanah Naftali, yang menghala ke tasik, di seberang Sungai Yordan, Galilea, negeri orang bukan Yahudi! Bangsa yang hidup dalam kegelapan akan nampak cahaya yang gemilang! Bagi mereka yang hidup di negeri yang dibayangi maut, cahaya itu akan bersinar!” Sejak itu Yesus mula mengisytiharkan perkhabaran-Nya, “Bertaubatlah daripada dosa kamu, kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!” Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan: Simon (yang juga disebut Petrus) dengan adiknya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Dengan segera adik-beradik itu meninggalkan jala mereka lalu mengikut Yesus. Yesus meneruskan perjalanan, lalu nampak dua orang adik-beradik yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka di dalam perahu bersama-sama bapa mereka, dan sedang mengemaskan jala. Yesus memanggil mereka. Dengan segera mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus. Yesus menjelajah seluruh negeri Galilea. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan banyak orang sakit yang menderita berbagai-bagai penyakit. Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri Siria, sehingga mereka yang menderita berbagai-bagai penyakit dan kesusahan dibawa kepada-Nya. Lalu Yesus menyembuhkan semua orang yang dirasuk roh jahat, yang sakit gila babi, dan yang lumpuh. Mereka semua disembuhkan oleh Yesus. Orang yang mengikut Yesus banyak sekali. Mereka dari Galilea, dari Sepuluh Kota, dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari negeri di seberang Yordan.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MATIUS 4:12-25

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami