MATIUS 4:12-25

MATIUS 4:12-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Ketika Yesus mendengar bahawa Yohanes dipenjarakan, Dia pun pergi ke Galilea. Dia tidak menetap di Nasaret, tetapi tinggal di Kapernaum, sebuah kota di tepi Tasik Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali. Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Tanah Zebulon dan tanah Naftali, yang menghala ke tasik, di seberang Sungai Yordan, Galilea, negeri orang bukan Yahudi! Bangsa yang hidup dalam kegelapan akan nampak cahaya yang gemilang! Bagi mereka yang hidup di negeri yang dibayangi maut, cahaya itu akan bersinar!” Sejak itu Yesus mula mengisytiharkan perkhabaran-Nya, “Bertaubatlah daripada dosa kamu, kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!” Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan: Simon (yang juga disebut Petrus) dengan adiknya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Dengan segera adik-beradik itu meninggalkan jala mereka lalu mengikut Yesus. Yesus meneruskan perjalanan, lalu nampak dua orang adik-beradik yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka di dalam perahu bersama-sama bapa mereka, dan sedang mengemaskan jala. Yesus memanggil mereka. Dengan segera mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus. Yesus menjelajah seluruh negeri Galilea. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan banyak orang sakit yang menderita berbagai-bagai penyakit. Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri Siria, sehingga mereka yang menderita berbagai-bagai penyakit dan kesusahan dibawa kepada-Nya. Lalu Yesus menyembuhkan semua orang yang dirasuk roh jahat, yang sakit gila babi, dan yang lumpuh. Mereka semua disembuhkan oleh Yesus. Orang yang mengikut Yesus banyak sekali. Mereka dari Galilea, dari Sepuluh Kota, dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari negeri di seberang Yordan.

MATIUS 4:12-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka apabila didŭngar ulih Isa akan khabar Yahya sudah dimasokkan orang kadalam pŭnjara, lalu iyapun pŭrgilah kaGalilia. Maka sŭtlah sudah iya mŭninggalkan Nazareth, lalu datanglah iya diam diKapŭrnaom, yang ditŭpi pantie tasik pada batasan tanah Zabulan dan Nafthali. Supaya gŭnaplah pŭrkataan yang dikatakan ulih Nabi Jasia, katanya, Tanah Zabulan dan Nafthali, dŭkat kŭtasik yang disŭbrang Jordan, iya itu Galilia orang sŭsat. Adapun orang yang dudok dalam gŭlap tŭlah mŭlihat suatu trang yang amat bŭsar: dan bagie sagala orang yang dudok dalam bŭnua yang dinawangi ulih kamatian, tŭlah tŭrbitlah suatu trang adanya. ¶ Arkian maka deripada kutika itu, bahrulah dimulie ulih Isa mŭngajar, katanya, Taubatlah kamu, kŭrna krajaan shorga sudah dŭkat. ¶ Maka apabila Isa bŭrjalan ditŭpi pantie tasik Galilia itu, lalu dilihatnya dua orang bŭrsaudara, iya itu Simon yang bŭrgŭlar Petrus, dau Andria saudaranya, marika itu mŭmbuang pukat dalam tasik itu, kŭrna marika itu pŭmukat. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Marilah kamu mŭngikot aku, kŭrna aku handak mŭnjadikan kamu pŭmukat manusia. Maka pada kutika itu juga marika itu mŭninggalkan pukatnya, lalu mŭngikot akan dia. Maka apabila Isa sudah bŭrjalan deri sana, lalu dilihatnya pula dua orang lain bŭrsaudara, iya itu Yakob anak Zabdi, dan Yahya saudaranya, dalam sa’buah pŭrahu, sŭrta dŭngan bapanya Zabdi itu mŭmbubol pukatnya, lalu dipanggil ulih Isa akan marika itu. Maka dŭngan skutika itu juga marika itu mŭninggalkan pŭrahunya sŭrta bapanya, lalu diikotnya akan dia. ¶ Bŭrmula maka Isa pun mŭnjalanilah akan sagala tanah Galilia, sambil mŭngajar dalam kanisa kanisa marika itu, sŭrta mŭmashorkan Injil krajaan Allah, dan lagi mŭnyŭmbohkan sagala jŭnis pŭnyakit dan pŭnyakitan diantara kaum itu. Maka pŭchahlah wartanya itu sampie bŭrkŭliling sagala bŭnua Syria: maka dibawakan oranglah kapadanya sagala orang yang sakit dŭngan bŭrjŭnis jŭnis pŭnyakit, dan sŭngsara, dan orang yang kŭna jin, dan orang gila babi, dan orang tepok; maka disŭmbuhkanlah ulih Isa akan marika itu. Maka banyaklah orang mŭngikot akan dia deri tanah Galilia, dan deri nŭgri Dikapulis, dan deri nŭgri Jerusalem, dan tanah Yahuda, dan deri tanah yang disŭbrang sungie Jordan.

MATIUS 4:12-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila mendengar bahawa Yohanes telah dipenjarakan, Yesus pun pergi ke Galilea. Dia tidak tinggal di Nazaret tetapi di Kapernaum, sebuah kota di pinggir Laut Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: “Tanah Zebulon, Tanah Naftali, di pinggir laut, seberang Sungai Yordan, Galilea, daerah bangsa-bangsa asing. Bangsa yang hidup dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang. Bagi mereka yang tinggal di negeri yang di bawah bayangan maut, cahaya telah bersinar!” Yesus pun mula menyampaikan perkhabaran-Nya, “Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!” Ketika Yesus berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak dua orang saudara, iaitu Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas. Mereka sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.” Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya. Sejurus berjalan dari sana, Yesus ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yohanes bersama bapa mereka Zebedeus, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Yesus memanggil dua beradik itu. Seketika itu juga mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikut Yesus. Yesus menjelajah ke serata Galilea. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan Injil Kerajaan Allah serta menyembuhkan semua jenis penyakit dan kesakitan dalam kalangan mereka. Berita tentang Yesus tersebar di seluruh Siria. Maka, ramailah orang yang menanggung pelbagai penyakit dan penderitaan, orang yang dirasuk roh iblis, yang menghidap penyakit gila babi, dan yang lumpuh, dibawa kepada-Nya dan disembuhkan oleh-Nya. Ramai sekali orang mengikut-Nya: dari Galilea dan Dekapolis (bermaksud Sepuluh Kota), dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari kawasan di seberang Yordan.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami