MATIUS 21:1-11

MATIUS 21:1-11 BM

Semasa mendekati Yerusalem, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Betfage, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Sebaik sahaja kamu memasuki pekan itu, kamu akan nampak seekor keldai yang terikat, dan anaknya pun di situ. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku. Jika ada orang mengatakan sesuatu, katakan kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ Dengan segera orang itu akan membenarkan kedua-dua ekor keldai itu dibawa pergi.” Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi, “Katakanlah kepada kota Sion, Rajamu sedang datang kepada kamu. Dia rendah hati dan menunggang seekor keldai, Dia datang mengendarai anak keldai yang muda.” Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan melakukan seperti yang diarahkan oleh Yesus. Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu, lalu mengalasi punggung keldai dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat ranting-ranting pokok, lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang Yesus mula berseru-seru, “Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Allah!” Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?” “Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea,” jawab orang ramai yang mengiringi Yesus.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami