MATIUS 21:1-11

MATIUS 21:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Semasa mendekati Yerusalem, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Betfage, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Sebaik sahaja kamu memasuki pekan itu, kamu akan nampak seekor keldai yang terikat, dan anaknya pun di situ. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku. Jika ada orang mengatakan sesuatu, katakan kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ Dengan segera orang itu akan membenarkan kedua-dua ekor keldai itu dibawa pergi.” Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi, “Katakanlah kepada kota Sion, Rajamu sedang datang kepada kamu. Dia rendah hati dan menunggang seekor keldai, Dia datang mengendarai anak keldai yang muda.” Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan melakukan seperti yang diarahkan oleh Yesus. Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu, lalu mengalasi punggung keldai dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat ranting-ranting pokok, lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang Yesus mula berseru-seru, “Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Allah!” Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?” “Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea,” jawab orang ramai yang mengiringi Yesus.

MATIUS 21:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA sŭtlah marika itu hampir kanŭgri Jerusalem, lalu sampielah iya kaBethpagi, iya itu dŭkat bukit Zieton, maka tŭtkala itu disurohkan ulih Isa dua orang muridnya, katanya kapadanya, Pŭrgilah kamu kapada duson yang bŭrsŭbrangan dŭngan kita ini, maka skutika itu kamu akan mŭndapat sa’ekor kaldie tŭrtambat, sŭrta dŭngan sa’ekor anaknya bŭrsama; luchutkanlah akan dia, bawa kapadaku. Maka jikalau barang siapa bŭrkata apa apa kapadamu, maka jawablah kamu, bahwa ada bŭrguna kapada Tuhan, maka dŭngan skutika juga iya akan mŭnyurohkan iya datang. Adapun sagala pŭrkara ini tŭlah jadi, supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi katanya; Katakanlah kapada anak pŭrampuan Zion, tengoklah Rajamu yang rŭndah hatinya datang kapadamu bŭrkaindraan diatas sa’ekor kaldie dŭngan sa’ekor anaknya. Maka pŭrgilah murid muridnya bŭrbuat spŭrti yang disurohkan Isa padanya itu. Maka dibawanyalah kaldie itu sŭrta dŭngan anaknya, maka dikŭnakannyalah pakiean ka’atasnya, lalu didudokannya Isa ka’atasnya. Maka bŭbrapalah banyak sangat orang yang mŭmbŭntangkan pakieannya pada jalan, dan ada pula orang yang mŭngŭratkan ranting ranting deripada pokok pokok, sŭrta dikaparkannya dijalan. Maka sagala orang yang bŭrjalan dahulu, dan yang mŭngikot dia itupun bŭrsrulah, katanya, Husana kiranya bagie anak Daud, dan bŭrbahgialah iya yang datang dŭngan nama Tuhan; Husana kiranya dalam tŭmpat kŭtinggian skali! Maka apabila iya masok kadalam Jerusalem, gŭmparlah isi nŭgri, mŭngatakan, siapakah iya ini? Maka bŭrkatalah orang banyak, Iya inilah Isa, nabi deri Nazareth, tanah Galilia.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami