MATIUS 14:1-14

MATIUS 14:1-14 BM

Pada masa itulah Herodes, penguasa negeri Galilea, mendengar berita tentang Yesus. Herodes berkata kepada pegawai-pegawainya, “Sesungguhnya dia itu Yohanes Pembaptis! Dia sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.” Herodes menyangka demikian kerana sebelum itu Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, dirantai lalu dimasukkan ke dalam penjara. Herodes berbuat demikian kerana Herodias itu, isteri Filipus, saudaranya. Yohanes sentiasa menegur Herodes, katanya, “Tuan bersalah kerana berkahwin dengan Herodias!” Herodes berniat membunuh Yohanes, tetapi Herodes takut akan orang Yahudi kerana mereka menganggap Yohanes sebagai nabi. Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan para hadirin dan menghiburkan hati Herodes. Oleh itu Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu. Gadis itu mengikut kehendak ibunya dan meminta kepala Yohanes Pembaptis di atas talam pada waktu itu juga. Mendengar permintaan itu, Herodes bersedih hati. Tetapi Herodes sudah bersumpah di hadapan semua hadirin. Oleh itu Herodes memberikan perintah supaya permintaan gadis itu dipenuhi. Oleh itu Herodes menyuruh orang pergi ke penjara untuk memancung kepala Yohanes. Kemudian kepala Yohanes ditaruh di atas talam dan diserahkan kepada gadis itu. Lalu gadis itu membawa kepala Yohanes kepada ibunya. Setelah itu pengikut Yohanes datang untuk mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi dan memberitahu Yesus hal itu. Apabila Yesus mendengar berita tentang Yohanes, Dia meninggalkan tempat itu dengan perahu, lalu pergi sendirian ke suatu tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai mendengar hal itu, lalu mereka meninggalkan bandar mereka dan mengikut Yesus melalui jalan darat. Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami