MATIUS 14:1-14

MATIUS 14:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada masa itulah Herodes, penguasa negeri Galilea, mendengar berita tentang Yesus. Herodes berkata kepada pegawai-pegawainya, “Sesungguhnya dia itu Yohanes Pembaptis! Dia sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.” Herodes menyangka demikian kerana sebelum itu Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, dirantai lalu dimasukkan ke dalam penjara. Herodes berbuat demikian kerana Herodias itu, isteri Filipus, saudaranya. Yohanes sentiasa menegur Herodes, katanya, “Tuan bersalah kerana berkahwin dengan Herodias!” Herodes berniat membunuh Yohanes, tetapi Herodes takut akan orang Yahudi kerana mereka menganggap Yohanes sebagai nabi. Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan para hadirin dan menghiburkan hati Herodes. Oleh itu Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu. Gadis itu mengikut kehendak ibunya dan meminta kepala Yohanes Pembaptis di atas talam pada waktu itu juga. Mendengar permintaan itu, Herodes bersedih hati. Tetapi Herodes sudah bersumpah di hadapan semua hadirin. Oleh itu Herodes memberikan perintah supaya permintaan gadis itu dipenuhi. Oleh itu Herodes menyuruh orang pergi ke penjara untuk memancung kepala Yohanes. Kemudian kepala Yohanes ditaruh di atas talam dan diserahkan kepada gadis itu. Lalu gadis itu membawa kepala Yohanes kepada ibunya. Setelah itu pengikut Yohanes datang untuk mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi dan memberitahu Yesus hal itu. Apabila Yesus mendengar berita tentang Yohanes, Dia meninggalkan tempat itu dengan perahu, lalu pergi sendirian ke suatu tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai mendengar hal itu, lalu mereka meninggalkan bandar mereka dan mengikut Yesus melalui jalan darat. Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ.

MATIUS 14:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA tŭtkala itu tŭrdŭngarlah warta Isa itu kapada Herodis pŭmrentah. Maka bŭrkatalah iya kapada orang orangnya, Inilah dia Yahya Pŭmbaptisa; iya tŭlah hidop pula deripada matinya; maka sŭbab itu diadakannya sagala pŭrbuatan yang ajaib itu. ¶ Adapun Herodis itu tŭlah mŭnangkap Yahya itu, lalu diikatnya, sŭrta dimasokannya kadalam pŭnjara, ulih kŭrna Herodia istri saudaranya yang bŭrnama Philipus. Sŭbab kata Yahya padanya, Haramlah angkau pŭristrikan pŭrampuan itu. Maka Herodis handak mŭmbunoh dia, tŭtapi iya takotkan orang banyak, kŭrna marika itu mŭmbilang Yahya itu sa’orang nabi. Tŭtapi apabila datanglah pŭrjamuan hari jadi Herodis, maka mŭnarilah anak pŭrampuan Herodia itu dihadapan mŭjlis, mŭnyukakan hati Herodis. Maka sŭbab itu, Herodis bŭrsumpahlah, sambil bŭrjanji handak mŭmbri barang apa pŭrmintaannya. Tŭtapi anak pŭrampuan itu tŭlah tŭrdahulu diajarkan ulih ibunya, maka iya bŭrkata, Brilah kapadaku disini juga kapala Yahya Pŭmbaptisa dalam dulang. Maka duka chitalah raja: akan tŭtapi sŭbab sudah tŭrlampau sumpahnya, dan lagi ulih sŭbab orang yang dudok sŭrtanya dalam pŭrjamuan itu, maka disurohnyalah bri juga padanya. Maka disurohkannyalah orang pŭrgi mŭmanggal kapala Yahya dalam pŭnjara. Hata maka dibawa oranglah kapala itu dalam dulang, lalu dibrikannyalah kapada anak pŭrampuan itu; maka dibawanya pŭrgi kapada ibunya. Maka datanglah murid Yahya mŭngambil mayat itu, lalu ditanamkannya, maka pŭrgilah marika itu mŭmbri tahu akan Isa. ¶ Shahadan apabila didŭngar ulih Isa akan hal itu, maka undorlah iya deri sana dŭngan bŭrprahu, kapada suatu tŭmpat yang sunyi sa’orang dirinya; maka apabila didŭngar ulih sagala orang, maka diikotnyalah dia dŭngan bŭrjalan kaki kluar deri dalam nŭgri nŭgri. Maka apabila turonlah Isa kadarat, maka dilihatnya tŭrlalu banyak orang itu, maka kasihanlah iya akan marika itu, sŭrta disŭmbohkannya sagala orang yang sakit diantaranya.

MATIUS 14:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Yesus. Herodes berkata kepada orang di bawahnya, “Ini tentu Yohanes Pembaptis. Dia telah dibangkitkan daripada kematian! Itulah sebab Dia mempunyai kuasa melakukan mukjizat.” Sebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yohanes ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus. Yohanes telah memberitahu Herodes, “Mengambil Herodias sebagai isterimu adalah haram.” Herodes hendak membunuh Yohanes tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi. Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis dan menyenangi hati Herodes, sehingga Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu. Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yohanes Pembaptis di atas talam pada waktu itu juga. Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia memerintahkan supaya permintaan gadis itu dilaksanakan. Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yohanes di penjara. Kepala Yohanes diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. Selepas itu, murid Yohanes datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Yesus tentangnya. Sebaik-baik mendengar tentang Yohanes, Yesus menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun demikian, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Yesus melalui jalan darat dari kota. Setelah Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit dalam kalangan mereka.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami