AYUB 38:4-21

AYUB 38:4-21 BM

Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia? Jika engkau sangat pandai, jawablah. Siapakah yang menentukan keluasan dunia? Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya? Tahukah engkau jawapannya? Apakah yang menyangga tiang-tiang bumi? Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini, pada waktu bintang-bintang pagi bernyanyi bersama-sama, dan makhluk-makhluk syurga bersorak gembira? Siapakah yang menutup pintu untuk membendung samudera ketika air memancar keluar dari rahim bumi? Akulah yang meliputi laut dengan awan dan menyelimutinya dengan kegelapan. Aku menentukan sempadan samudera dan dengan pintu berpalang Aku membendungnya. Aku memberitahunya, ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi! Di sinilah ombakmu yang kuat mesti berhenti.’ Hai Ayub, pernahkah dalam hidupmu engkau mendatangkan pagi, dan memerintah fajar merekah? Pernahkah engkau menyuruh fajar menguasai bumi dan mengebas orang jahat dari tempat mereka bersembunyi? Cahaya matahari menampakkan bukit dan lembah sejelas cap pada tanah liat dan lipatan pada jubah. Cahaya matahari terlalu cerah untuk orang yang melakukan kejahatan, dan menghalang mereka daripada melakukan keganasan. Pernahkah engkau turun ke sumber mata laut? Pernahkah engkau berjalan di dasar laut? Pernahkah sesiapa menunjukkan pintu gerbang maut kepada kamu, pintu yang menutup alam maut yang gelap gelita itu? Tahukah engkau keluasan dunia? Jawablah, jika engkau tahu segalanya. Tahukah engkau asalnya cahaya? Tahukah engkau tempatnya kegelapan? Dapatkah engkau menentukan batas di antara kegelapan dan cahaya, ataupun menghantar kedua-dua itu pulang setelah datang? Engkau menyangka bahawa engkau tahu jawapan semuanya, seolah-olah engkau hadir ketika Aku menciptakan dunia; tentunya engkau sudah sangat tua!

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami