AYUB 12

12
Ayub
1Kemudian Ayub menjawab,
2“Memang, kamu suara orang ramai.
Apabila kamu mati, hikmat juga akan mati.
3Tetapi aku juga mempunyai akal seperti kamu,
dan aku tidak lebih rendah daripada kamu;
semua orang tahu segala yang kamu katakan itu.
4Bahkan sahabat-sahabatku pun mentertawakan aku,
mereka tertawa, walaupun aku benar dan tidak bersalah;
tetapi pada suatu masa dahulu Allah pernah mengabulkan doaku.
5Kamu tidak mempunyai kesusahan, namun kamu menghina aku;
kamu memukul orang yang hampir jatuh.
6Pencuri dan orang jahat hidup tanpa ancaman,
walaupun kekuatan mereka sendiri menjadi dewa mereka.
7Bertanyalah kepada unggas dan binatang lain,
maka kamu akan diberikan pengajaran.
8Mintalah keterangan daripada makhluk darat dan lautan,
maka kamu akan menerima penjelasan.
9Kesemuanya tahu bahawa Allah telah mencipta mereka.
10Allah berkuasa atas kehidupan setiap makhluk-Nya;
nyawa setiap manusia dalam tangan Allah.
11Orang tahu makanan yang sedap ketika merasanya,
dan kata-kata yang bijak apabila mendengarnya.
12-13Hikmat ada pada orang tua,
tetapi hikmat dan kuasa ada pada Allah sahaja.
Pengertian ada pada orang tua,
tetapi pengertian dan kuasa untuk bertindak ada pada Allah sahaja.
14Apa yang dirobohkan Allah tidak dapat dibina semula;
orang yang dipenjarakan Allah tidak dapat dibebaskan semula.
15Apabila Allah menahan hujan, kemarau tiba;
apabila Dia melepaskan air, banjir melanda.
16Allah kuat dan sentiasa berjaya;
penipu dan orang yang tertipu ada dalam kekuasaan-Nya.
17Dia mencabut kebijaksanaan pemerintah,
dan menyebabkan pemimpin menjadi bahan ketawa.
18Dia menggulingkan raja-raja dan menawan mereka;
19Dia merendahkan imam-imam dan orang berkuasa.
20Dia membungkam orang yang dapat dipercayai,
dan mengambil kebijaksanaan daripada orang tua.
21Dia memalukan mereka yang berkuasa,
dan menamatkan kekuasaan para pemerintah.
22Dia menyinari tempat-tempat yang suram,
dan menerangi tempat-tempat yang kelam.
23Dia menjadikan bangsa-bangsa kuat dan gagah,
tetapi kemudian mengalahkan dan memusnahkan mereka.
24Dia menjadikan pemimpin mereka kebingungan,
sehingga mereka mengembara tanpa tujuan.
25Mereka meraba-raba dalam kegelapan,
dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk minuman.

Terpilih Sekarang Ini:

AYUB 12: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami