YOHANES 7:1-31
YOHANES 7:1-31 BM
Setelah itu Yesus pergi dari satu tempat ke tempat lain di Galilea. Dia tidak mahu pergi ke daerah Yudea kerana para penguasa Yahudi di sana hendak membunuh Dia. Pada masa itu hampir Perayaan Pondok Daun. Oleh itu, saudara-saudara Yesus berkata kepada-Nya, “Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke Yudea, supaya pengikut-pengikutmu dapat melihat perbuatanmu. Tidak seorang pun menyembunyikan perbuatannya, jika dia ingin menjadi terkenal. Kamu sudah melakukan perkara-perkara seperti itu, biarlah seluruh dunia tahu akan kamu!” ( Saudara-saudara-Nya sendiri pun tidak percaya kepada-Nya.) Yesus berkata kepada mereka, “Saat-Ku belum tiba. Saat kamu bila-bila sahaja. Dunia ini tidak mempunyai alasan untuk membenci kamu. Tetapi dunia ini membenci Aku, kerana Aku sentiasa berkata kepada dunia bahawa perbuatannya jahat. Pergilah ke perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum tiba.” Demikianlah kata Yesus, lalu Dia tinggal di Galilea. Setelah saudara-saudara-Nya pergi ke perayaan itu, Yesus pun pergi. Tetapi Dia tidak pergi secara terang-terangan, melainkan secara diam-diam. Para penguasa Yahudi mencari Dia semasa perayaan itu. “Di manakah dia?” tanya mereka. Orang ramai berbisik-bisik tentang Dia. Beberapa orang berkata, “Dia orang baik.” Yang lain berkata, “Tidak! Dia menyesatkan orang!” Tetapi tidak seorang pun berani bercakap secara terang-terangan tentang Yesus, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Pada pertengahan masa perayaan itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan, lalu mula mengajar. Para penguasa Yahudi hairan sekali lalu berkata, “Bagaimanakah orang ini dapat mengetahui sebanyak ini, padahal dia tidak pernah dilatih untuk menjadi guru Taurat?” Yesus menjawab, “Yang Aku ajarkan ini bukan ajaran-Ku, melainkan ajaran Dia yang mengutus Aku. Orang yang mahu melakukan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran-Ku datangnya daripada Allah atau daripada Aku sendiri. Seorang yang mengajarkan ajarannya sendiri, mencari kehormatan bagi dirinya sendiri. Tetapi seorang yang menghendaki kehormatan untuk orang yang mengutusnya, orang itu jujur dan tidak ada kepalsuan padanya. Bukankah Musa yang memberikan Taurat kepada kamu? Tetapi tidak seorang pun antara kamu yang mentaati Taurat itu. Mengapakah kamu mahu membunuh Aku?” Orang ramai itu menjawab, “Kamu dirasuk syaitan! Siapa mahu membunuh kamu?” Yesus berkata kepada mereka, “Aku melakukan suatu mukjizat, lalu kamu semua hairan. Musa memberikan peraturan bersunat. Oleh itu pada hari Sabat pun kamu mahu menyunat anak lelaki kamu. (Sebenarnya peraturan bersunat bukan berasal daripada Musa tetapi daripada nenek moyang kamu sebelum Musa.) Jika seorang anak lelaki boleh disunat pada hari Sabat supaya tidak melanggar Taurat Musa, mengapakah kamu marah terhadap Aku kerana Aku menyembuhkan seseorang dengan sepenuhnya pada hari Sabat? Janganlah hakimi orang berdasarkan apa yang kelihatan, tetapi berdasarkan keadilan.” Beberapa orang penduduk Yerusalem berkata, “Bukankah dia ini yang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh? Lihatlah, dia berkata-kata di hadapan umum, tetapi penguasa kita tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah mereka sudah tahu bahawa dia Penyelamat yang diutus oleh Allah? Tetapi apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah itu datang, tidak seorang pun akan mengetahui tempat asal-Nya. Tetapi kita mengetahui tempat asal orang ini.” Sementara Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya dengan suara lantang, “Benar-benarkah kamu mengetahui siapa Aku ini dan tempat asal-Ku? Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus Aku dapat dipercaya, tetapi kamu tidak mengenal Dia. Aku mengenal Dia, kerana Dialah yang mengutus Aku dan Aku datang daripada-Nya.” Kemudian para penguasa Yahudi cuba menangkap Dia, tetapi tiada seorang pun berani memegang Yesus kerana saat-Nya belum tiba. Tetapi banyak antara orang ramai percaya kepada-Nya. Mereka berkata, “Apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah datang, dapatkah Dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?”