IBRANI 3:7-19

IBRANI 3:7-19 BM

Oleh itu, seperti kata Roh Allah, “Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala seperti nenek moyang kamu yang memberontak terhadap Allah, ketika mereka menguji Dia di padang gurun. ‘Di sana nenek moyang kamu menguji Aku dan mencubai Aku,’ firman Allah, ‘meskipun mereka telah melihat apa yang Aku lakukan selama empat puluh tahun.’ Itulah sebabnya Aku murka terhadap mereka dan berfirman, ‘Mereka sentiasa menderhaka, dan tidak mahu mentaati perintah-Ku.’ Aku murka dan bersumpah, ‘Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku!’ ” Saudara-saudaraku, berhati-hatilah supaya tidak seorang pun di kalangan kamu yang hatinya begitu jahat dan tidak percaya sehingga meninggalkan Allah yang hidup. Oleh itu, supaya tidak seorang pun di kalangan kamu ditipu oleh dosa lalu menjadi keras kepala, setiap hari kamu mesti saling menasihati selama kita masih hidup dalam zaman yang disebut “Hari Ini” di dalam Alkitab. Kita semua rakan seperjuangan Kristus, sekiranya sampai akhir kita memegang teguh keyakinan yang kita miliki pada mulanya. Inilah yang tertulis di dalam Alkitab, “Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala seperti nenek moyang kamu, ketika mereka memberontak terhadap Allah.” Siapakah orang yang mendengar suara Allah lalu memberontak terhadap-Nya? Mereka semua yang dipimpin oleh Musa keluar dari Mesir. Terhadap siapakah Allah murka selama empat puluh tahun? Terhadap mereka yang berdosa, yang jatuh mati di padang gurun. Ketika Allah bersumpah, “Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku” - siapakah yang dimaksudkan oleh-Nya? Mereka yang memberontak terhadap Allah. Sekarang kita faham bahawa mereka tidak dapat masuk ke negeri itu, kerana mereka tidak mahu percaya kepada Allah.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami