KISAH RASUL-RASUL 13:1-12

KISAH RASUL-RASUL 13:1-12 BM

Di kalangan jemaah di Antiokhia terdapat beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang digelar Si Hitam, Lukius dari Kirene, Menahem yang dibesarkan bersama-sama Gabenor Herodes, dan Saulus. Sementara mereka beribadat kepada Tuhan dan berpuasa, Roh Allah berkata kepada mereka, “Pilihlah Barnabas dan Saulus khas untuk-Ku, supaya mereka menjalankan tugas yang sudah Aku tetapkan bagi mereka.” Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas kepala Barnabas dan Saulus, lalu mengutus mereka berdua. Barnabas dan Saulus pergi ke Seleukia, kerana diutus oleh Roh Allah. Dari sana mereka belayar ke pulau Siprus. Apabila mereka tiba di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di rumah ibadat orang Yahudi. Yohanes Markus menolong mereka dalam tugas itu. Mereka menjelajah seluruh pulau itu, sehingga tiba di Pafos. Di situ mereka berjumpa dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yesus, seorang Yahudi yang menganggap dirinya sebagai nabi. Dia sahabat Sergius Paulus, gabenor pulau itu, seorang yang cerdik dan bijaksana. Gabenor itu menjemput Barnabas dan Saulus, kerana dia ingin mendengar firman Allah. Tetapi Barnabas dan Saulus ditentang oleh Elimas ahli sihir itu (itulah namanya dalam bahasa Yunani), kerana Elimas cuba menghalang gabenor itu percaya kepada Yesus. Tetapi Saulus - yang juga disebut Paulus - dikuasai oleh Roh Allah, dan menatap ahli sihir itu. Lalu Paulus berkata, “Kamu anak Iblis! Kamu musuh segala apa yang baik. Kamu penuh dengan tipu muslihat. Kamu berdusta mengenai ajaran tentang Tuhan! Tuhan akan menghukum kamu sekarang juga. Kamu akan menjadi buta, dan tidak dapat melihat cahaya matahari untuk sementara waktu.” Pada saat itu juga Elimas merasa kabus gelap menutupi matanya, sehingga dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang yang dapat menuntunnya. Apabila gabenor itu melihat apa yang sudah berlaku, dia percaya kepada Yesus, kerana sangat mengagumi ajaran Tuhan.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami