KISAH RASUL-RASUL 13:1-12

KISAH RASUL-RASUL 13:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Di kalangan jemaah di Antiokhia terdapat beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang digelar Si Hitam, Lukius dari Kirene, Menahem yang dibesarkan bersama-sama Gabenor Herodes, dan Saulus. Sementara mereka beribadat kepada Tuhan dan berpuasa, Roh Allah berkata kepada mereka, “Pilihlah Barnabas dan Saulus khas untuk-Ku, supaya mereka menjalankan tugas yang sudah Aku tetapkan bagi mereka.” Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas kepala Barnabas dan Saulus, lalu mengutus mereka berdua. Barnabas dan Saulus pergi ke Seleukia, kerana diutus oleh Roh Allah. Dari sana mereka belayar ke pulau Siprus. Apabila mereka tiba di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di rumah ibadat orang Yahudi. Yohanes Markus menolong mereka dalam tugas itu. Mereka menjelajah seluruh pulau itu, sehingga tiba di Pafos. Di situ mereka berjumpa dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yesus, seorang Yahudi yang menganggap dirinya sebagai nabi. Dia sahabat Sergius Paulus, gabenor pulau itu, seorang yang cerdik dan bijaksana. Gabenor itu menjemput Barnabas dan Saulus, kerana dia ingin mendengar firman Allah. Tetapi Barnabas dan Saulus ditentang oleh Elimas ahli sihir itu (itulah namanya dalam bahasa Yunani), kerana Elimas cuba menghalang gabenor itu percaya kepada Yesus. Tetapi Saulus - yang juga disebut Paulus - dikuasai oleh Roh Allah, dan menatap ahli sihir itu. Lalu Paulus berkata, “Kamu anak Iblis! Kamu musuh segala apa yang baik. Kamu penuh dengan tipu muslihat. Kamu berdusta mengenai ajaran tentang Tuhan! Tuhan akan menghukum kamu sekarang juga. Kamu akan menjadi buta, dan tidak dapat melihat cahaya matahari untuk sementara waktu.” Pada saat itu juga Elimas merasa kabus gelap menutupi matanya, sehingga dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang yang dapat menuntunnya. Apabila gabenor itu melihat apa yang sudah berlaku, dia percaya kepada Yesus, kerana sangat mengagumi ajaran Tuhan.

KISAH RASUL-RASUL 13:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka adalah bŭbrapa orang nabi dan guru dalam sidang jŭmaah yang diAntiok, iya itu Barnabas, dan Simon yang digŭlar Niger, dan Lukius orang Sirini, dan Manaen, iya itu saudara susuan Herodis Tetrak, dan Saul. Maka sŭmŭntara marika itu akan mŭmbuat ibadat kapada Tuhan sŭrta puasa; maka bŭrkatalah Roh Alkudus, Asingkanlah Barnabas dan Saul supaya mŭlakukan pŭrkŭrjaan yang tŭlah kuuntokkan bagie marika itu. Maka sŭtlah marika itu puasa dan minta doa, sŭrta mŭmbuboh tangannya ka’atas orang kadua itu, lalu dilŭpaskanlah akan dia pŭrgi. ¶ Arkian dŭmi marika itu disuroh ulih Roh Alkudus, pŭrgilah iya kanŭgri Salukia; maka deri sanalah pula marika itu bŭrlayar kapulau Kiprus. Adapun sŭtlah marika itu sampie kanŭgri Salamis; maka diajarkannyalah pŭrkataan Allah dalam kŭnisa kŭnisa orang Yahudi; maka adalah Yahya mŭnjadi pŭnulong marika itu. Maka sŭtlah sudahlah marika itu mŭlalui pulau itu, sampie kanŭgri Pafus, lalu didapatinya disana sa’orang hubatan, iya itulah sa’orang nabi yang dusta, lagi sa’orang Yahudi, namanya Bŭrjisus: Maka iya itu bŭrsama sama dŭngan Serjius Paulus, pŭnghulu nŭgri itu, iya itu sa’orang budiman adanya; maka dijŭmpotnyalah Bŭrnabas dan Saul, sŭbab iya handak mŭnŭngar pŭrkataan Allah. Tŭtapi Elimas orang hubatan itu (yang tŭrsalin namanya dŭmkian) iya itulah mŭlawan marika itu handak dipalingkannya pŭnghulu nŭgri itu deripada imannya Adapun Saul yang tŭrsŭbut Paulus pun pŭnohlah hatinya dŭngan Roh Alkudus, lalu dirŭnongnyalah akan dia. Sambil bŭrkata, Hie angkau yang pŭnoh dŭngan sagala jŭnis bohong dan tipu daya, anak Iblis, dan sŭtru sagala yang bŭnar; bŭlomkah angkau bŭrhanti deripada mŭndolak dalekkan jalan Tuhan yang bŭtul itu? Skarang kŭtahuilah ulihmu, Bahwa adalah tangan Tuhan mŭlawan dikau, maka angkau akan buta, tiada dapat mŭlihat matahari bŭbrapa lamanya; maka tiba tiba dŭngan sŭkutika itu juga, klamkabutlah matanya, lalu mŭrabalah iya mŭnchari orang yang mŭmimpin tangannya. Maka apabila dilihat ulih pŭnghulu nŭgri itu akan hal yang dŭmkian, maka pŭrchayalah iya, sŭrta hieran tŭrchŭngang, deri kŭrna pŭngajaran Tuhan.

KISAH RASUL-RASUL 13:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Di antara jemaah di Antiokhia ada beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang bergelar Niger, Lukius dari Kirene, Menahem, yang dibesarkan bersama Raja Herodes, dan Saul. Sedang mereka beribadat kepada Tuhan dan berpuasa, Roh Kudus berkata kepada mereka, “Khaskan Barnabas dan Saul untuk-Ku, bagi melaksanakan tugas yang telah Kutetapkan untuk mereka.” Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saul lalu melepaskan mereka pergi. Barnabas dan Saul diutus ke Seleukia oleh Roh Kudus. Dari situ mereka belayar ke Pulau Siprus. Apabila sampai di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di saumaah orang Yahudi, dibantu oleh Yohanes. Mereka pergi ke serata pulau itu hingga sampai di Pafos. Di situ mereka bertemu dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yusha, seorang nabi palsu Yahudi. Dia berkawan baik dengan Sergius Paulus, pemerintah pulau itu, seorang yang bijaksana. Sergius Paulus memanggil Barnabas dan Saul kerana ingin mendengar firman Allah. Akan tetapi, Elimas ahli sihir itu (ini namanya dalam bahasa Yunani) cuba menghalang pemerintah itu daripada percaya kepada Yesus. Saul, yang juga disebut Paulus, dipenuhi oleh Roh Kudus lalu merenung ahli sihir itu dan berkata, “Hai kamu anak Iblis, seteru segala yang benar, kamu yang penuh dengan tipu daya! Tiadakah kamu mahu berhenti memesongkan jalan Tuhan yang betul? Tuhan akan menghukum kamu pada saat ini juga. Kamu akan buta, tidak dapat melihat cahaya matahari buat beberapa waktu.” Dalam sekelip mata Elimas merasa kabus gelap menyelaputi matanya. Dia pun berjalan teraba-raba mencari orang yang dapat memimpinnya. Apabila pemerintah itu melihat apa yang terjadi, dia pun mempercayai Yesus dan amat kagum akan pengajaran Tuhan.