2 KORINTUS 10:1-11

2 KORINTUS 10:1-11 BM

Aku, Paulus memohon kepada kamu. Orang berkata bahawa aku ini lemah lembut apabila berhadapan dengan kamu, tetapi keras apabila jauh daripada kamu. Dengan kelembutan dan kebaikan hati Kristus, aku memohon supaya kamu tidak memaksa aku bersikap keras terhadap kamu apabila aku datang kelak. Aku tahu bahawa aku boleh bersikap keras terhadap orang yang mengatakan bahawa aku bekerja dengan tujuan duniawi. Memang benar kami ini hidup di dalam dunia, tetapi perjuangan kami tidak berdasarkan tujuan duniawi. Senjata yang kami gunakan dalam perjuangan, bukannya senjata dunia ini, melainkan senjata yang diberikan oleh Allah. Dengan senjata itu kami boleh menghancurkan pertahanan musuh; kami menghapuskan perdebatan dan mengatasi setiap alasan yang diajukan oleh orang sombong untuk menentang pengetahuan tentang Allah. Kami menawan fikiran orang supaya taat kepada Kristus. Setelah kamu membuktikan kesetiaan kamu, kami siap menghukum sesiapa pun yang tidak setia. Kamu melihat hal-hal secara zahir sahaja. Jika sesiapa mengaku dirinya milik Kristus, hendaklah dia berfikir lagi dan sedar bahawa kami juga milik Kristus seperti dia. Aku tidak malu walaupun aku terlalu membanggakan kekuasaan yang sudah diberikan oleh Tuhan kepada kami, kerana kekuasaan itu diberikan untuk membina kamu, bukannya untuk meruntuhkan kamu. Aku tidak mahu kamu berfikir bahawa aku menakutkan kamu dengan surat-suratku. Ada yang berkata, “Surat-surat Paulus itu keras dan tegas, tetapi apabila dia bersama-sama kita, dia lemah perangainya dan kata-katanya tidak bererti apa-apa!” Biarlah orang seperti itu sedar bahawa apabila kami bersama-sama kamu, kami akan bertindak seperti apa yang kami tulis dalam surat-surat kami.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami