1 KORINTUS 3:1-9

1 KORINTUS 3:1-9 BM

Saudara-saudaraku! Sebenarnya aku tidak dapat bercakap dengan kamu seperti bercakap dengan orang yang mempunyai Roh Allah. Aku terpaksa bercakap dengan kamu seperti bercakap dengan orang yang masih dikuasai keinginan duniawi, atau seperti bercakap dengan orang yang masih kanak-kanak dalam kepercayaan mereka kepada Kristus. Dahulu aku memberi kamu susu, bukan makanan orang dewasa kerana kamu belum sedia menerimanya. Tetapi sekarang pun kamu masih belum dapat menerima ajaran yang lebih dalam, kerana kamu masih hidup menurut tabiat manusia. Apabila kamu iri hati dan saling bertengkar, bukankah hal itu membuktikan bahawa kamu hidup menurut tabiat manusia, seperti orang yang tidak mengenal Allah? Apabila seseorang berkata, “Aku mengikut Paulus,” dan yang lain berkata, “Aku mengikut Apolos,” bukankah kelakuan kamu seperti kelakuan orang dunia ini? Sebenarnya siapakah Apolos itu? Siapakah Paulus? Kami hanya hamba Allah, yang memimpin kamu percaya kepada Kristus. Kami hanya menjalankan tugas masing-masing yang diberikan oleh Tuhan. Aku menanam benih dan Apolos menyiramnya, tetapi Allah sendiri yang menyebabkan tanaman itu tumbuh. Orang yang menanam benih dan orang yang menyiramnya tidaklah penting. Allah sahaja yang penting, kerana Dia yang menyebabkan tanaman itu tumbuh. Orang yang menanam benih setaraf dengan orang yang menyiramnya; Allah akan mengurniakan pahala menurut kerja masing-masing. Kami orang yang bekerja bersama-sama untuk Allah, dan kamu bagaikan ladang Allah. Kamu juga bagaikan bangunan Allah.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami