SUSANA 13

13
Dua Orang Hakim Terpikat oleh Kecantikan Susana
1Di Babel tinggal seorang yang bernama Yoyakim. 2Isterinya bernama Susana, anak Hilkia. Susana seorang wanita yang sangat cantik dan salih. 3Ibu bapa Susana patuh kepada agama dan mendidik anak mereka menurut Taurat Musa. 4Yoyakim, suami Susana amat kaya dan mempunyai taman yang luas dekat dengan rumahnya. Orang Yahudi sering datang ke rumahnya, kerana dia orang yang paling dihormati di kalangan mereka. 5-6Setiap orang yang mempunyai perkara, pergi kepada dua orang hakim yang sering mengadakan sidang pengadilan di rumah Yoyakim. Kedua-dua orang itu baru sahaja dilantik sebagai hakim. Tentang mereka itulah Tuhan berfirman, “Kejahatan timbul di Babel daripada kaum tua-tua, justeru daripada hakim-hakim yang seharusnya membimbing rakyat.”
7Pada siang hari apabila orang sudah pulang, Susana biasanya berjalan-jalan di taman suaminya. 8Setiap hari kedua-dua orang hakim itu melihat Susana masuk ke taman dan berjalan-jalan di situ. Maka mulalah mereka mengingininya. 9Mereka berfikir kotor dan membelakangi Allah, sehingga lupa akan kewajipan mereka sebagai hakim. 10-11Kedua-duanya mabuk asmara, tetapi mereka tidak saling memberitahukan hal itu, kerana masing-masing malu untuk mengakui bahawa dia ingin memiliki Susana. 12Jadi setiap hari mereka asyik mengintip wanita itu.
13Pada suatu hari, yang seorang berkata kepada yang lain, “Mari kita pulang kerana sudah masanya untuk makan tengah hari.” Lalu mereka berpisah dan pergi. 14Tetapi mereka berpatah balik, dan bertemu lagi di tempat yang sama. Mereka saling menanyakan apa alasannya, maka mereka mengakui hasrat mereka. Lalu mereka berdua sepakat untuk menemui Susana seorang diri pada suatu waktu.
Kedua-dua Orang Hakim Berusaha untuk Menggoda Susana
15-16Pada suatu hari, sementara kedua-dua orang hakim sedang menunggu kesempatan yang baik, Susana berjalan-jalan di taman seperti biasa. Dia hanya ditemani oleh dua orang hamba perempuan. Tidak ada orang lain di situ kecuali hakim berdua itu yang bersembunyi sambil mengintip Susana. Hari sangat panas, dan Susana ingin mandi di taman. 17Dia berkata kepada kedua-dua orang hambanya, “Tolong ambilkan minyak dan wangi-wangian dan kuncilah pintu-pintu taman supaya saya dapat mandi.” 18Kedua-dua orang hambanya mengunci pintu-pintu taman dan keluar melalui pintu tepi untuk mengambil apa yang diminta Susana. Mereka tidak melihat kedua-dua orang yang sedang bersembunyi itu.
19Segera sesudah hamba-hamba itu pergi, kedua-dua orang hakim itu keluar dari tempat persembunyian mereka dan bergegas-gegas menujui Susana. 20Mereka berkata kepadanya, “Pintu-pintu taman sudah dikunci, dan tak ada yang melihat kita. Kami mabuk asmara. Turutilah keinginan kami dan tidurlah bersama dengan kami. 21Kalau tidak, kami akan memberi kesaksian di pengadilan bahawa kami telah melihat engkau menyuruh hamba-hambamu pergi supaya dapat sendirian dengan seorang pemuda.”
22Susana merintih. “Tak ada jalan keluar bagiku,” katanya. “Kalau aku menyerah, aku dihukum mati kerana berzina. Kalau aku menolaknya, aku masuk ke dalam perangkapmu. 23Tapi lebih baik aku jatuh ke tanganmu tanpa bersalah daripada berdosa terhadap Tuhan.” 24Lalu Susana menjerit sekeras-kerasnya, tetapi kedua-dua orang hakim itu juga berteriak-teriak melawan Susana. 25Lalu seorang daripada mereka lari membuka pintu taman.
26Ketika pelayan-pelayan di dalam rumah mendengar keriuhan itu, mereka lari ke taman melalui pintu tepi untuk melihat apa yang terjadi dengan Susana. 27Sesudah kedua-dua orang hakim memberi keterangan, pelayan-pelayan itu berasa malu sekali, kerana belum pernah hal seperti itu dikatakan tentang Susana.
Kedua-dua Orang Hakim Memberi Kesaksian Palsu tentang Susana
28Keesokan harinya, ketika orang berkumpul di rumah Yoyakim, datanglah juga kedua-dua orang hakim itu dengan rancangan jahat untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap Susana. 29Di hadapan semua orang mereka berkata, “Panggillah Susana anak Hilkia, isteri Yoyakim!” Mereka memanggil dia, 30lalu dia datang bersama-sama orang tuanya, anak-anaknya, dan kaum kerabatnya. 31Susana sangat cantik jelita, 32sehingga kedua-dua orang jahat itu menyuruhnya membuka kain tudungnya, supaya mereka dapat memandanginya dengan sepuas-puasnya. 33Maka menangislah semua saudaranya dan sahabatnya, dan sesiapa sahaja yang melihatnya.
34Lalu kedua-dua orang hakim itu berdiri di hadapan rakyat, dan sambil meletakkan tangan mereka di atas kepala Susana, mereka mula menuduhnya. 35Susana menengadah ke syurga sambil menangis oleh sebab dia tetap percaya kepada Tuhan. 36Kemudian kedua-dua orang hakim itu berkata, “Ketika kami sedang berjalan-jalan di taman, wanita ini masuk dengan dua orang hamba perempuan. Lalu dia menutup pintu-pintu taman dan menyuruh kedua-dua orang hambanya pergi. 37Kemudian pemuda yang bersembunyi di taman itu menghampirinya dan mereka tidur bersama. 38Pada waktu itu kami ada di sudut taman, dan ketika kami melihat kejahatan itu, kami berlari kepada mereka. 39Kami melihat mereka bermesraan, tapi tak dapat menangkap pemuda itu kerana dia lebih kuat daripada kami. Dia membuka pintu dan melarikan diri. 40Maka wanita ini kami pegang dan kami tanyakan siapa pemuda itu, 41tapi dia tidak mahu memberitahu kami. Inilah kesaksian kami.” Oleh kerana kedua-dua orang itu bukan sahaja daripada kalangan tua-tua masyarakat tetapi juga hakim, rakyat percaya kepada keterangan mereka dan Susana dijatuhi hukuman mati.
Daniel Menyelamatkan Susana
42Lalu Susana berseru dengan suara nyaring, “Ya Allah yang kekal, Engkau mengetahui apa yang tersembunyi dan mengenal segala sesuatu sebelum terjadi. 43Engkau tahu juga bahawa kedua-dua orang itu memberi kesaksian palsu tentang diriku. Sekarang aku harus mati meskipun tidak melakukan apa pun daripada semua tuduhan jahat itu.”
44Tuhan mendengar doa Susana. 45Ketika dia digiring keluar untuk dihukum mati, Tuhan memberi ilham kepada seorang pemuda bernama Daniel, 46sehingga dia berseru dengan suara nyaring, “Saya tak mahu ikut bertanggungjawab atas kematian wanita itu!”
47Semua orang menoleh kepadanya dan bertanya, “Apa maksudmu?”
48Lalu Daniel berdiri di hadapan mereka semua dan berkata, “Hai orang Israel, bodoh benar kamu ini! Apakah seorang wanita Israel akan kamu hukum mati tanpa pemeriksaan dan pembuktian? 49Kembalilah ke tempat pengadilan, oleh sebab kedua-dua orang itu telah memberi kesaksian palsu!”
50Lalu rakyat cepat-cepat kembali ke tempat pengadilan, dan kaum tua-tua berkata kepada Daniel, “Allah telah mengurniai engkau kebijaksanaan melebihi umurmu. Jadi duduklah antara kami dan terangkanlah perkara itu kepada kami.”
51Daniel berkata kepada mereka, “Pisahkanlah kedua-dua orang hakim itu jauh-jauh. Saya akan memeriksa mereka seorang demi seorang.” 52Sesudah dipisahkan, Daniel memanggil yang pertama dan berkata, “Hai orang tua yang jahat! Sekarang engkau ditimpa dosa-dosamu sendiri. 53Engkau telah memberikan keputusan-keputusan yang tak adil. Orang yang tak bersalah kauhukum dan orang yang bersalah kaubebaskan, meskipun Tuhan berfirman, ‘Jangan jatuhkan hukuman mati kepada orang yang tak bersalah.’ 54Nah, jika engkau benar-benar melihat kedua-dua orang itu bermesraan, katakanlah: Di bawah pokok apa mereka melakukan hal itu?”
“Di bawah pokok mesui yang kecil,” jawabnya.
55“Bagus!” ujar Daniel. “Dusta itu harus kaubayar dengan nyawamu sendiri. Malaikat Allah sudah diperintahkan untuk membelah engkau menjadi dua!”
56Lalu hakim itu digiring pergi dan yang lain dibawa masuk menghadap Daniel. “Hai keturunan Kanaan dan bukan keturunan Yehuda,” kata Daniel kepadanya. “Engkau disesatkan oleh kecantikan wanita ini, dan fikiranmu dibengkokkan oleh nafsu berahimu. 57Engkau sudah biasa berbuat begitu dengan wanita-wanita Israel, dan mereka mengikut kemahuanmu kerana takut kepadamu. Tapi wanita Yehuda ini tak mahu menyerah kepada kejahatanmu. 58Nah, katakanlah: Di bawah pokok apa engkau melihat mereka bermesraan?”
“Di bawah pokok berangan,” sahutnya.
59“Bagus!” ujar Daniel. “Dusta itu harus kaubayar dengan nyawamu sendiri. Malaikat Allah sudah menunggu dengan pedangnya di tangan, siap untuk memotong engkau menjadi dua, sehingga dia membinasakan kamu berdua.”
60Kemudian orang ramai itu bersorak-sorak dan memuji Allah yang menyelamatkan orang yang berharap kepada-Nya. 61-62Mereka serentak bangkit melawan kedua-dua orang hakim itu kerana Daniel membuktikan bahawa mereka telah memberikan kesaksian palsu. Menurut Taurat Musa, orang yang memberikan kesaksian palsu harus menerima hukuman yang sebetulnya dijatuhkan kepada tertuduh. Maka kedua-dua orang hakim itu dibunuh, dan wanita yang tidak bersalah itu diselamatkan. 63Lalu ibu bapa Susana, suaminya, dan semua kerabatnya menyanyikan pujian bagi Allah kerana semua tuduhan terhadap Susana ternyata tidak benar.
64Sejak hari itu Daniel sangat dihormati oleh rakyat.

Terpilih Sekarang Ini:

SUSANA 13: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami