Roma 8:7-17

Roma 8:7-17 AVB

Fikiran sifat tabii yang berdosa memusuhi Allah kerana fikiran demikian tidak tunduk kepada hukum Allah dan tidak dapat berbuat demikian. Orang yang dikawal oleh sifat tabii yang berdosa tidak berupaya mendapat keredaan Allah. Tetapi kamu dikawal bukan oleh sifat tabii yang berdosa tetapi oleh Roh, jika Roh Allah hidup dalam dirimu. Dan jika seseorang tidak ada Roh Kristus, dia bukanlah milik Kristus. Sebaliknya jika Kristus ada dalam dirimu, tubuhmu mati kerana dosa, namun rohmu hidup kerana perbenaran. Dan jika Roh Dia yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian hidup dalam dirimu, maka Dia yang telah membangkitkan Kristus Yesus daripada kematian akan juga memberikan kehidupan kepada tubuhmu yang fana melalui Roh-Nya, yang hidup dalam dirimu. Dengan demikian, saudara-saudaraku, kita ada kewajipan tetapi bukan terhadap sifat tabii yang berdosa dan hidup menurut sifat tabii itu. Kerana jika kamu hidup menurut sifat tabii yang berdosa, kamu akan mati; tetapi jika dengan Roh itu kamu mematikan perbuatan-perbuatan salah tubuhmu, kamu akan hidup, kerana orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah. Kerana kamu bukanlah menerima Roh yang menyebabkan kamu diperhamba lagi oleh ketakutan, tetapi telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, “Abba, Bapa.” Roh itu sendiri memberikan kesaksian dengan roh kita bahawa kita anak Allah. Jika kita anak, maka kita waris-waris Allah, waris bersama dengan Kristus, jika kita benar-benar berkongsi penderitaan-Nya supaya dapat berkongsi kemuliaan-Nya kelak.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Roma 8:7-17