Matius 17:14-27
Matius 17:14-27 AVB
Setelah Yesus dan ketiga-tiga orang murid-Nya itu kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang berlutut di hadapan-Nya. Lelaki itu berkata, “Tuhan, kasihanilah anakku! Dia menghidap sakit gila babi dan penyakitnya sungguh teruk. Sering kali dia terjatuh ke dalam air atau api. Aku sudah pun membawanya kepada murid-murid-Mu, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.” Yesus menjawab, “Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini. Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke sini!” Yesus mengherdik roh iblis itu. Roh iblis itu pun keluar daripada anak itu lalu dia sembuh serta-merta. Para murid Yesus mendapatkan-Nya dan bertanya ketika tiada orang lain di situ, “Mengapa kami tidak dapat menghalau roh iblis itu?” Yesus menjawab, “Ini kerana kepercayaanmu tipis. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada gunung, ‘Beralihlah ke situ!’ maka bukit itu akan beralih. Tidak ada satu pun yang mustahil bagi kamu. Jenis ini hanya dapat dihalau dengan berdoa dan berpuasa.” Ketika semua murid Yesus berhimpun di Galilea, Yesus berkata kepada mereka, “Anak Manusia akan diserahkan kepada manusia. Mereka akan membunuh-Nya, tetapi Dia akan dibangkitkan semula pada hari ketiga.” Mendengar kata-kata itu, para murid Yesus berdukacita. Apabila Yesus dan murid-murid-Nya sampai di Kapernaum, pemungut-pemungut cukai dua dirham datang kepada Petrus lalu bertanya, “Adakah gurumu membayar cukai Bait Suci?” Petrus menjawab, “Tentu sekali.” Sebaik-baik Petrus masuk ke rumah, sebelum dia dapat berkata apa-apa, Yesus bertanya, “Simon, bagaimana pandanganmu, daripada siapakah raja-raja dunia ini memungut cukai, daripada anak-anak mereka atau orang lain?” “Orang lain,” jawab Petrus. “Kalau begitu,” kata Yesus, “anak-anak tidak perlu membayar. Tetapi usahlah kita singgung perasaan orang. Pergilah memancing di laut. Ambillah ikan pertama yang kautangkap, dan bukalah mulutnya. Engkau akan mendapati sekeping duit syiling sebesar empat dirham. Ambillah duit itu dan berikan kepada mereka, untuk-Ku dan untukmu.”

