Demikian jugalah sekalian orang itu yang berangan-angan hinggakan mereka melakukan dosa terhadap tubuh badan sendiri. Mereka menghina kekuasaan Allah dan menista para makhluk yang adikudrati. Namun demikian ketua malaikat, Mikhail, tidak berani melafazkan sepatah pun kata nista ketika berbalah dengan Iblis tentang jenazah Musa. Mikhail hanya berkata, “Tuhan murkai kamu!” Sebaliknya, orang itu mencaci hal-hal yang langsung tidak difahami oleh mereka. Ada beberapa perkara yang diketahui mereka, tetapi seperti haiwan yang tidak berakal, mereka hanya mengetahui secara naluri, maka kerana itulah mereka binasa. Malangnya mereka ini! Mereka telah menurut jejak langkah Kain. Seperti Bileam, mereka telah melibatkan diri dengan perbuatan yang sesat, semata-mata untuk mengejar wang. Mereka telah memberontak seperti Korah, maka mereka dimusnahkan. Mereka ini mencemarkan majlis perjamuan kasihmu, kerana mereka seperti gembala yang mencari makanan bagi diri mereka sendiri tanpa segan silu. Mereka seperti awan yang ditiup angin, maka tidak membawa hujan. Mereka ibarat pokok yang tidak berbuah meskipun pada musim buah. Mereka umpama pokok yang telah dicabut dengan akar umbinya dan mengalami dua kali kematian. Mereka laksana ombak ganas di lautan yang membuihkan perbuatan aib. Mereka seperti bintang beredar yang telah ditentukan tempatnya dalam kegelapan yang hitam pekat untuk selama-lamanya. Henokh, keturunan ketujuh daripada Adam, pernah bernubuat tentang mereka: “Lihatlah, Tuhan akan datang dengan ribuan malaikat-Nya yang suci. Dia akan menghakimi seluruh umat manusia dan menghukum orang yang derhaka kerana perbuatan durjana mereka, dan juga semua caci nista orang yang berdosa terhadap-Nya.” Orang sedemikian sentiasa bersungut dan menyalahkan orang lain. Mereka menurut hawa nafsu durjana. Mereka memuji diri sendiri dan mengampu orang tertentu untuk mendapat keuntungan.
Baca Yudas 1
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Yudas 1:8-16
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video