Ayub 38:4-21

Ayub 38:4-21 AVB

Di manakah engkau ketika Aku meletakkan asas bumi? Jawablah jika engkau berpengetahuan. Siapakah yang menentukan ukuran bumi? Tentu engkau tahu! Atau, siapakah yang merentangkan tali pengukur di atasnya? Di atas apakah asas-asasnya ditanamkan? Atau, siapakah yang meletakkan batu penjurunya ketika bintang fajar bersorak-sorai bersama-sama dan semua anak Allah bersorak gembira? Siapakah yang menutup laut dengan pintu ketika laut memancar keluar dari dalam rahim, ketika Aku menjadikan awan pakaiannya dan kelam pekat kain bedungnya, ketika Kuputuskan batas baginya dan Kupasang palang serta pintu, ketika Aku berfirman, ‘Sejauh ini engkau boleh pergi tetapi tidak lebih. Di sinilah gelombangmu yang bongkak akan berhenti’? Seumur hidupmu pernahkah engkau memerintahkan terbitnya pagi, atau memberitahu fajar tempatnya, supaya ia memegang hujung-hujung bumi dan mengebaskan orang fasiq dari dalamnya? Bumi berubah seperti tanah liat yang dimateraikan, segala sesuatu menjadi seperti pakaian. Tetapi cahaya orang fasiq ditahan, dan lengan yang terangkat dipatahkan. Pernahkah engkau pergi sampai ke mata-mata air di laut, atau menjalani tempat-tempat rahsia samudera? Pernahkah pintu-pintu gerbang maut diperlihatkan kepadamu? Pernahkah kaulihat pintu-pintu gerbang bayang maut? Pernahkah kaufahami luasnya bumi? Nyatakanlah kalau engkau tahu akan semua itu. Di manakah jalan ke tempat kediaman cahaya? Di manakah tempat tinggal kegelapan, sehingga engkau dapat menghantarnya ke daerahnya dan mengetahui jalan ke rumahnya? Tentu engkau tahu kerana engkau sudah lahir pada waktu itu dan jumlah harimu sudah banyak!

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami