KELUARAN 17
17
Air dari Batu Besar
(Bil 20.1-13)
1Segenap umat Israel meninggalkan padang gurun Sin dan berpindah-pindah dari satu tempat ke tempat lain mengikut perintah TUHAN. Mereka berkhemah di Rafidim, tetapi mereka tidak mendapati air minum di sana. 2Mereka bersungut-sungut terhadap Musa dan berkata, “Berilah kami air minum.”
Musa menjawab, “Mengapakah kamu bersungut-sungut? Mengapakah kamu menguji TUHAN?”
3Tetapi umat itu terlalu dahaga dan terus-menerus bersungut terhadap Musa. Mereka berkata, “Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir? Adakah supaya kami dan anak-anak kami, serta ternakan kami mati kehausan?”
4Musa berdoa dengan sungguh-sungguh kepada TUHAN dan berkata, “Apakah yang harus aku lakukan terhadap umat ini? Mereka mahu merejam aku.”
5TUHAN berfirman kepada Musa, “Panggillah beberapa orang pemimpin Israel dan berjalanlah bersama dengan mereka mendahului umat. Bawa juga tongkat yang engkau gunakan untuk memukul Sungai Nil. 6Aku akan berdiri di hadapan kamu di atas sebuah batu besar di Gunung Sinai. Pukullah batu itu, maka air akan memancar untuk diminum orang.” Musa melakukan hal itu di hadapan para pemimpin orang Israel.
7Tempat itu dinamakan Masa dan Meriba kerana orang Israel bersungut-sungut dan menguji TUHAN ketika mereka bertanya, “Adakah TUHAN menyertai kita atau tidak?”
Berperang Melawan Orang Amalek
8Orang Amalek datang dan menyerang orang Israel di Rafidim. 9Musa berkata kepada Yosua, “Pilihlah beberapa orang untuk memerangi orang Amalek esok. Aku akan berdiri di puncak bukit sambil memegang tongkat sebagaimana yang disuruh Allah.” 10Yosua melakukan apa yang disuruh Musa lalu keluar memerangi orang Amalek, sementara Musa, Harun, dan Hur naik ke puncak bukit. 11Selama Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang, tetapi apabila dia menurunkan tangannya, orang Amalek pula mula menang. 12Apabila tangan Musa berasa letih, Harun dan Hur mengambil sebuah batu lalu menyuruh Musa duduk di atasnya, sementara mereka berdiri di sisinya untuk menunjang tangan Musa. Mereka menunjang tangan Musa sehingga matahari terbenam. 13Dengan demikian Yosua mengalahkan orang Amalek.
14 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah peristiwa ini supaya dapat dikenang. Beritahulah Yosua bahawa orang Amalek akan Aku binasakan sama sekali.” 15Musa membina sebuah mazbah dan menamakannya “TUHAN Panjiku.” 16Musa berkata, “Kibarkanlah panji TUHAN! TUHAN akan terus-menerus berperang melawan orang Amalek hingga selama-lamanya!”
Currently Selected:
KELUARAN 17: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.