YouVersion Logo
Search Icon

2 MAKABE 15

15
Rancangan Jahat Nikanor
1Nikanor mendapat khabar bahawa Yudas dan anak buahnya ada di daerah Samaria. Maka dia memutuskan untuk menyerang mereka pada hari Sabat, hari rehat untuk orang Yahudi, kerana dia dapat bertindak tanpa menghadapi bahaya. 2Orang Yahudi yang dipaksa ikut dengan tenteranya mohon kepadanya supaya jangan membunuh dengan begitu kejam dan biadab, tetapi menghormati hari yang mulia itu yang dikhususkan oleh Allah yang melihat segala sesuatu. 3Lalu Nikanor, makhluk yang paling hina di atas muka bumi, bertanya, “Betulkah di syurga ada penguasa yang menetapkan bahawa hari Sabat harus dirayakan?” 4Jawab orang Yahudi, “Ya! Tuhan yang hidup dan berkuasa di syurga memerintahkan kami untuk merayakan hari Sabat.”
5Tetapi Nikanor berkata, “Baik, tetapi akulah yang berkuasa di bumi, dan kuperintahkan kamu untuk mengangkat senjata dan memenuhi permintaan raja.” Tetapi dia tidak berjaya melaksanakan rancangan yang kejam itu.
Yudas Menyiapkan Pasukannya untuk Bertempur
6Dengan sombongnya Nikanor berkata bahawa dia akan mendirikan sebuah tugu untuk memperingati kemenangannya terhadap Yudas dan para pengikutnya. 7Tetapi Yudas tetap percaya dengan penuh harapan bahawa Tuhan akan menolong dia. 8Oleh sebab itu Yudas menasihati anak buahnya supaya jangan takut terhadap serangan musuh. Dia mengajak mereka untuk mengingati pertolongan Allah Yang Maha Kuasa pada masa yang lampau, dan untuk tetap yakin bahawa kali ini pun Dia akan memberi mereka kemenangan. 9Dia mengobarkan semangat mereka dengan membaca dari kitab Taurat dan para nabi, dan dengan mengingatkan mereka akan segala kemenangan yang sudah dicapai oleh mereka. 10Sesudah semangat mereka dikobarkan, Yudas memperingatkan mereka dengan menunjukkan ketidaksetiaan bangsa asing dan sumpah-sumpah yang telah dilanggar oleh mereka. 11Begitulah dia mempersenjatai mereka semua, bukan sahaja dengan perisai dan tombak yang memberi rasa aman, tetapi dengan kata-kata yang memberi semangat. Dia juga menggembirakan hati mereka dengan menceritakan mimpinya, semacam penglihatan yang dapat dipercaya. 12Beginilah penglihatan itu: Yudas melihat bekas Imam Agung Onias, seorang yang baik budi, rendah hati, dan lemah lembut, pandai berucap, dan sejak kecil dididik dalam segala kebajikan. Dengan tangan terentang Onias mendoakan seluruh bangsa Yahudi. 13Lalu Yudas melihat seorang yang sangat agung dan terhormat dan berambut putih. 14Kata Onias, “Ini Yeremia, nabi Allah, sahabat kalian. Dia banyak berdoa untuk bangsa kita dan untuk Yerusalem, kota suci.”
15Lalu Yeremia menghulurkan tangan kanannya dan menyerahkan sebilah pedang emas kepada Yudas sambil berkata, 16“Terimalah pedang ini sebagai pemberian Allah. Dengan pedang ini engkau akan membinasakan musuh-musuhmu.”
17Kata-kata Yudas yang mengesankan itu mengobarkan semangat setiap orang dan memberanikan hati orang muda. Kota, agama, dan Rumah Allah mereka ada dalam bahaya. Oleh sebab itu orang Yahudi memutuskan untuk tidak membuang-buang waktu, melainkan menyerang musuh dengan gagah perkasa dan memutuskan perkara itu dengan berani dalam pertempuran satu lawan satu. 18Mereka tidak terlalu memikirkan keluarga dan kerabat mereka, tetapi yang lebih-lebih dikhuatiri oleh mereka ialah Rumah Allah. 19Orang yang ditinggalkan di dalam kota berasa cemas memikirkan pertempuran di medan terbuka.
Nikanor Dikalahkan dan Dibunuh
20Setiap orang menantikan keputusan pertempuran itu. Pasukan-pasukan musuh sedang bergerak maju secara teratur dengan pasukan berkuda di kiri dan kanan serta gajah-gajah mereka di tempat-tempat yang paling strategik. 21Yudas Makabe melihat pasukan musuh yang sangat banyak itu, senjata mereka yang serba lengkap dan gajah-gajah mereka yang garang. Lalu dia merentangkan tangannya ke syurga dan berdoa kepada Tuhan yang melakukan keajaiban-keajaiban, dan dia yakin bahawa Tuhan memberi kemenangan kepada orang yang layak, dan bukan kepada orang yang mempunyai tentera besar. 22Inilah doa yang diucapkan Yudas, “Ya Tuhan, pada zaman Hizkia raja Yahudi, Engkau mengirim malaikat-Mu untuk menumpas 185,000 orang daripada pasukan Sanherib. 23Sekarang, ya Tuhan penguasa syurga, utuslah lagi malaikat-Mu yang baik untuk membuat musuh gempar ketakutan. 24Dengan kuasa-Mu yang besar, binasakanlah orang itu yang sambil mengutuk Engkau datang menyerang umat pilihan-Mu.” Begitulah Yudas mengakhiri doanya.
25Nikanor dan tenteranya maju diiringi bunyi trompet dan lagu-lagu kemenangan, 26sedangkan Yudas dan anak buahnya menghadapi musuh dengan memohon pertolongan Allah. 27Sambil bertempur dengan tangan dan berdoa dalam hati kepada Allah, mereka membunuh tidak kurang daripada 35,000 orang daripada pasukan musuh. Mereka sangat bersukacita kerana telah mendapat pertolongan Allah. 28Sesudah pertempuran itu berakhir, mereka pulang dengan gembira. Mereka melihat Nikanor dengan perlengkapan senjatanya mati tergeletak di medan perang. 29Lalu mereka bersorak beramai-ramai untuk memuji Tuhan dalam bahasa mereka sendiri.
30Yudas Makabe, yang selalu berjuang dengan jiwa raganya bagi bangsanya, dan sejak kecil tidak pernah memadam cintanya untuk orang sebangsanya, memerintahkan supaya kepala dan lengan kanan Nikanor dipotong dan dibawa ke Yerusalem. 31Apabila tiba di kota, dia menyuruh rakyat berkumpul dan menempatkan para imam di hadapan mazbah. Dia juga menyuruh supaya orang di kubu dipanggil. 32Lalu ditunjukkannya kepada mereka kepala Nikanor orang jahat itu, dan tangannya yang dengan bongkak diacungkan terhadap Rumah Allah Yang Maha Kuasa. 33Dia mengerat lidah orang yang zalim itu, dan berkata bahawa dia akan memberikannya sedikit demi sedikit kepada burung-burung. Tangan Nikanor digantungkan di seberang Rumah Allah sebagai bukti kebodohan orang itu. 34Kemudian semua orang yang hadir di situ menengadah ke syurga dan memuji Tuhan yang telah menampakkan diri-Nya dan menjaga kesucian Rumah-Nya. 35Sesudah itu Yudas menggantungkan kepala Nikanor pada kubu supaya dapat dilihat oleh semua orang sebagai tanda bantuan Tuhan. 36Lalu diputuskan dengan sebulat suara bahawa untuk selama-lamanya hari itu tidak dapat dilupakan, tetapi harus dirayakan setiap tahun pada hari sebelum Hari Mordekhai, iaitu tarikh tiga belas bulan dua belas, yang dalam bahasa Aram disebut bulan Adar.
Kata Penutup
37Begitulah riwayat Nikanor. Sejak itu kota Yerusalem tetap menjadi milik orang Ibrani. Maka saya mengakhiri kisah saya di sini. 38Kalau jalan ceritanya baik dan tepat, keinginan saya tercapai. Tetapi kalau hanya sedang-sedang dan kurang bermutu, memang sampai di situlah kemampuan saya.
39Kita tahu bahawa tidak baik minum wain sahaja atau air sahaja. Sebaliknya, wain dicampur dengan air menjadi minuman lazat yang menambahkan nikmat. Begitu juga sebuah cerita yang baik kalau dikarang dengan baik menjadi kenikmatan bagi orang yang membacanya. Dengan ini tamatlah cerita saya

Currently Selected:

2 MAKABE 15: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy