1 TESALONIKA Kata Pengantar
Kata Pengantar
Tesalonika adalah ibu kota Makedonia, wilayah yang dikuasai oleh Empayar Roma. Paulus memulakan jemaah di Tesalonika, setelah dia meninggalkan Filipi. Tetapi tidak lama kemudian, orang Yahudi yang iri hati terhadap Paulus, menentang usaha Paulus untuk memberitakan ajaran Kristian kepada orang bukan Yahudi yang menunjukkan minat kepada agama Yahudi. Paulus terpaksa meninggalkan Tesalonika dan pergi ke Berea. Setelah Paulus tiba di Korintus, dia menerima surat daripada Timotius, sahabat dan rakan kerjanya, yang memberitahukan keadaan jemaah di Tesalonika.
Surat Paulus yang Pertama kepada Jemaah di Tesalonika ditulis untuk menggalakkan dan meneguhkan orang Kristian di situ. Paulus bersyukur kerana menerima berita tentang iman dan kasih mereka. Dia mengingatkan mereka tentang kehidupannya sendiri ketika bersama-sama mereka. Kemudian Paulus menjawab pertanyaan-pertanyaan jemaah tentang kedatangan semula Kristus. Jika seorang Kristian meninggal sebelum Kristus datang semula, dapatkah orang itu beroleh hidup kekal dan sejati daripada Kristus? Bilakah Kristus akan datang kembali? Paulus menasihati mereka supaya terus bekerja dengan tenang, sambil menanti-nantikan kedatangan Kristus dengan penuh harapan.
Kandungan
Pendahuluan 1.1
Kesyukuran dan Pujian 1.2—3.13
Nasihat tentang Kelakuan Orang Kristian 4.1-12
Penjelasan tentang Kedatangan Semula Kristus 4.13—5.11
Nasihat-Nasihat Terakhir 5.12-22
Penutup 5.23-28
Today's Malay Version with Deuterocanonicals © The Bible Society of Malaysia, 1996.