1 SAMUEL 9:1-11

1 SAMUEL 9:1-11 BM

Ada seorang lelaki yang kaya dan berpengaruh daripada suku Benyamin. Orang itu bernama Kish anak Abiel, cucu Zeror, daripada keluarga Bekhorat, iaitu sebahagian daripada puak Afiah. Kish mempunyai seorang anak lelaki bernama Saul, seorang pemuda yang kacak dan tegap. Saul lebih kacak daripada semua orang di Israel dan juga lebih tinggi; pada umumnya orang Israel lain hanya sampai bahu Saul. Pada suatu hari, beberapa ekor keldai kepunyaan Kish hilang. Oleh itu dia berkata kepada Saul, “Bawalah salah seorang hamba bersama-samamu dan pergilah cari keldai itu.” Kemudian Saul dan hambanya menjelajahi kawasan perbukitan Efraim dan kawasan Salisa, tetapi mereka tidak menjumpai keldai-keldai itu. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke daerah Sahalim, tetapi keldai-keldai itu tidak ada di sana. Mereka mencari pula di wilayah Benyamin, tetapi keldai-keldai itu masih tidak dijumpai. Apabila mereka sampai di daerah Zuf, Saul berkata kepada hambanya, “Marilah kita pulang, jangan-jangan ayah lebih cemas memikirkan kita daripada keldai-keldai itu.” Hambanya menjawab, “Tunggu dulu! Di kota ini ada seorang hamba Allah. Dia sangat dihormati orang kerana apa sahaja yang dikatakannya selalu benar-benar terjadi. Marilah kita pergi berjumpa dengan dia. Barangkali dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.” Saul berkata, “Jika kita pergi berjumpa dengan dia, apakah yang dapat kita berikan kepadanya? Bekal yang kita bawa sudah habis, dan kita tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada hamba Allah itu, bukan?” Hamba itu menjawab, “Saya mempunyai sekeping wang perak. Saya boleh memberikan wang ini kepada hamba Allah itu, supaya dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.” “Baiklah!” jawab Saul. “Marilah kita pergi.” Lalu mereka pergi ke kota, tempat hamba Allah itu tinggal. Ketika mereka mendaki bukit menuju ke kota itu, mereka berjumpa dengan beberapa orang gadis yang hendak menimba air di perigi. Mereka bertanya kepada gadis-gadis itu, “Adakah pelihat itu berada di kota?” (Pada zaman itu, seorang nabi disebut pelihat. Oleh itu apabila seseorang hendak menanyakan sesuatu kepada Allah, mereka berkata, “Marilah kita pergi kepada pelihat.”)

YouVersion 使用 cookie 来个性化你的体验。使用我们的网站,即表示你同意我们根据我们的隐私政策来使用 cookie。