Zephaniah 3:14-20

Hai umat Israel, hendaklah kamu bersorak dan bernyanyi! Hai penduduk Yerusalem, hendaklah kamu bergembira dengan segenap hati! TUHAN sudah berhenti menghukum kamu; Dia telah mengusir semua musuh kamu. TUHAN, raja Israel, menyertai kamu; tiada lagi yang menakutkan kamu. Akan tiba masanya orang berkata kepada Yerusalem, “Hai Bukit Sion, jangan takut dan jangan putus asa. TUHAN, Allah kamu menyertai kamu; kamu menang kerana kuasa-Nya. TUHAN gembira dan bersukacita kerana kamu; Dia memberi kamu hidup baru kerana Dia mengasihi kamu. Kamu menyukakan hati-Nya, maka Dia akan menyanyi dengan gembira, seperti orang yang sedang berpesta.” TUHAN berfirman, “Aku tidak lagi membiarkan kamu ditimpa bencana; Aku tidak lagi membiarkan kamu dihina. Masanya akan tiba; Aku akan menghukum penindas kamu. Aku menyelamatkan orang tempang, dan membawa pulang orang yang dibuang. Aku akan menyebabkan orang menghormati mereka, sehingga di seluruh dunia, mereka tidak lagi dihina. Masanya akan tiba; Aku akan membawa pulang orang yang tercerai-cerai; Aku akan menjadikan kamu termasyhur di seluruh bumi, dan menjadikan kamu makmur sekali lagi.” TUHAN telah berfirman.
ZEFANYA 3:14-20