ZAKHARIA 14:3-9
ZAKHARIA 14:3-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian barulah TUHAN akan memerangi bangsa-bangsa itu seperti pada masa dahulu. Pada masa itu, Dia akan berdiri di Bukit Zaitun di sebelah timur Yerusalem. Kemudian Bukit Zaitun akan terbelah dua oleh lembah yang luas, bermula dari timur sampai ke barat. Separuh bukit itu akan bergerak ke arah utara dan separuh lagi ke arah selatan. Kamu akan melarikan diri melalui lembah yang membelah bukit itu. Kamu akan lari seperti nenek moyang kamu dahulu ketika terjadi gempa bumi pada masa pemerintahan Uzia, raja Yehuda. TUHAN, Allahku akan datang bersama dengan semua malaikat-Nya. Pada masa itu, tiada lagi musim sejuk dan tiada embun yang membeku, ataupun kegelapan. Hari akan sentiasa terang, bahkan pada waktu malam. Hanya TUHAN yang tahu masa perkara itu akan berlaku. Pada hari itu, air yang memberikan hidup akan mengalir dari Yerusalem; separuh daripada air itu akan mengalir ke Laut Mati, dan separuh lagi ke Laut Tengah. Air itu akan mengalir sepanjang tahun, baik pada musim kemarau mahupun pada musim hujan. Kemudian TUHAN akan menjadi raja seluruh bumi. Setiap orang akan menyembah Dia sebagai Allah dan mengenal Dia dengan nama yang sama.
ZAKHARIA 14:3-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah itu, TUHAN akan maju berperang melawan bangsa-bangsa itu seperti ketika Dia berperang pada hari pertempuran. Pada hari itu Dia akan berdiri di atas Bukit Zaitun, yang berhadapan dengan Yerusalem di sebelah timur. Bukit Zaitun akan terbelah dua dari timur ke barat, sehingga terjadilah sebuah lembah yang amat besar. Separuh daripada bukit itu akan berpindah ke sebelah utara, manakala separuh lagi ke sebelah selatan. Kamu akan lari melalui lembah pergunungan-Ku itu, sebab lembah pergunungan itu akan sampai ke Azal. Kamu akan lari seperti kamu pernah lari kerana gempa bumi pada zaman Uzia, raja Yehuda. Kemudian TUHAN, Allahku, akan datang bersama-sama semua orang suci-Nya. Pada waktu itu tidak akan ada cahaya, cuaca dingin ataupun air yang membeku. Tetapi akan ada satu hari tanpa siang dan tanpa malam — TUHAN mengetahuinya. Pada waktu malam cahaya akan tetap ada. Pada waktu itu air kehidupan akan mengalir dari Yerusalem, sebahagian menuju laut timur dan sebahagian menuju laut barat. Hal itu akan terus berlangsung baik pada musim panas mahupun pada musim sejuk. Maka TUHAN akan menjadi raja atas seluruh bumi. Pada hari itu TUHAN ialah satu-satunya dan nama-Nya satu-satunya.